Umno perlu memberi ruang seluasnya kepada generasi muda mewarisi perjuangan parti itu berteraskan agama, bangsa dan negara, seiring usianya yang akan mencecah 71 tahun pada 11 Mei ini.

Ketua Umno bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata Umno dilihat masih tidak memberi ruang kepada golongan itu, sebaliknya melihat mereka sebagai ancaman kepada pemimpin sedia ada.

"Sebab itu kita dapat lihat ramai anak-anak muda bersama pembangkang, (sebab) kita (Umno) tidak meraikan kehadiran anak-anak muda yang berpotensi untuk bersama kita," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sekiranya masalah itu berterusan, Rizalman berkata proses meremajakan Umno yang sering diwar-warkan pucuk kepimpinan tidak akan menjadi kenyataan.

Menurutnya, Umno, yang dari segi falsafah memperjuangkan nasib orang Melayu, perlu bersikap lebih terbuka dan tidak lagi berpaksikan perkauman dalam gerak kerja, tindakan dan pelaksanaannya bagi menarik minat generasi muda.

Katanya, politik yang berpaksikan perkauman sudah tidak relevan di negara ini kerana generasi muda pada hari ini lebih suka melihat konteks 'rakyat Malaysia' berbanding soal bangsa dan kaum.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata ulang tahun Umno tahun ini mengingatkan semua bahawa parti yang menjadi tunjak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) itu telah banyak berjasa kepada rakyat.

Ia juga merupakan satu pengiktirafan kepada Umno yang selama ini terus diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menubuh kerajaan bersama dengan parti komponen BN, katanya.

"Tahun ini kita sambut (ulang tahun) besar-besaran. Oleh itu ahli-ahli Umno perlu mengambil kesempatan ini untuk menyusur kembali perjuangan terdahulu nenek moyang kita dalam Umno.

"Bila lanjut umur, maknanya Umno telah mempunyai 71 tahun pengalaman dalam parti. Kita lihat peralihan pemimpin silih berganti tetapi Umno tetap berada di landasan yang betul dalam memperjuangkan nasib bangsa," katanya.

- Bernama