Pemuda PAS menafikan sebarang pembabitan dengan sebaran poster secara maya yang membantah penganjuran konsert Megadeth, sebuah kumpulan rock thrash metal dari Amerika Syarikat di Stadium Negara, Kuala Lumpur, esok.

Walau bagaimanapun, mereka tetap menentang konsert itu, dan mempersoalkan mengapa band, yang sebelum ini dihalang daripada membuat persembahan di Kuala Lumpur pada tahun 2001, dibenarkan untuk mengadakan konsert sama kali ini.

“Konsert Megadeth ini pernah dihalang penganjurannya pada tahun 2001. Difahamkan asas halangan adalah kerana pengaruh muzik mereka membawa kesan negatif pada peminat.

“Pemuda PAS mempersoalkan ketegasan pihak berkuasa dalam menanggani penganjuran ini walaupun garis panduan hiburan dalam Islam telah begitu jelas diperakukan,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS, Hishamuddin Abdul Karim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada garis panduan hiburan dalam Islam (Edisi Kedua) seperti yang diterbitkan oleh Jakim dan disahkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 2015.

“Demi masa depan negara yang lebih gemilang dan keseimbangan pembangunan rakyat yang berkualiti tinggi, DPPM mempersoalkan penganjuran konsert seperti ini.

“Apakah ia membawa faedah besar untuk rakyat atau hanya membuka ruang kepada rakyat untuk menyaksikan budaya yang tidak sihat di dalam negara ini,” katanya.

Hishamuddin berkata, Islam bukanlah agama yang menghalang hiburan, kerana ia memberi peluang kepada ummahnya untuk berhibur dengan sempadan yang cukup jelas dan mudah.

“Pemuda yakin, PAS tidak akan menghalang apa-apa penganjuran konsert hiburan yang menepati dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama demi memelihara kesejahteraan rakyat jika diberi mandat memerintah.

“Menyediakan rakyat yang meletakkan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan nilai-nilai mulia dan murni adalah satu keutamaan PAS dalam pemerintahan,” katanya.

Megadeth, kumpulan rock thrash metal dari Los Angeles, dijadual membuat persembahan di Stadium Negara malam esok. Adalah dilaporkan tiket untuk konsert itu sedang hangat dijual.