Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

ULASAN l Apakah mesej paling kuat yang terpancar dari Kota Sarang Semut pada petang Isnin lalu?

Ia tidaklah mengenai kelemahan pengurusan penganjur atau panasnya sidang dewan yang bukan oleh perbahasan tetapi penyaman udara kurang berkesan.

Bukan juga mengenai mehnah atau tribulasi yang terpaksa dihadapi pengunjung semasa mahu menggunakan tandas.

Di sebalik rasa sayu sesetengah orang melihat tewasnya Nasrudin Hassan, terpancar dari kompleks PAS itu ialah harapan cerah masa depan Malaysia.

Ia adalah potensi paling tinggi sejak negara mencapai kemerdekaan hampir 60 tahun lalu.

Bukan sekadar 80

Dari presiden hingga ke pemeriksa kira-kira jawatankuasa pusat PAS serta dewan-dewannya, ia jelas menggambarkan kesediaan parti itu menjadi satu-satunya kingmaker politik Malaysia.

PAS pascamuktamar kali ke-63 adalah PAS serba sedia. Andainya parlimen dibubarkan hari ini, maka hari ini jugalah PAS bersedia menyertai pilihan raya dengan cemerlang.

Bukan setakat 80 kerusi yang boleh ditandingi parti pembangkang paling berpengalaman dan berpengaruh itu, malah jika perlu mereka boleh mencabar lebih jauh waima melebihi 100.

Malah diyakini jika pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam tempoh seminggu dua ini, ada kemungkinan beberapa kerusi parlimen dan dewan undangan negeri mampu dimenangi PAS dengan bergaya - tanpa bertanding - seperti jawatan presiden dan timbalan presiden parti berkenaan.

Satu lagi aspek yang wajar diteliti ialah keserasian yang terbina di peringkat jawatankuasa pusat PAS. Tanpa enam anggota lantikan yang akan dibuat tidak lama lagi, anggota jawatankuasa berkenaan setakat ini menampakkan keampuhan PAS mendepani cabaran kontemporari.

Mari kita andaikan PAS memang menang besar di lima negeri yang disebut Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini. Katakanlah PRU ke-14 diadakan seminggu dua ini. PAS akan berjaya mencatat kemenangan terbesar berbanding mana-mana parti lain di Perak, Kedah, Terengganu, Selangor dan Kelantan.

Tanpa perlu berteka-teki banyak, kita boleh terus menoleh ke arah senarai AJK Pusat PAS itu dan melihat wajah-wajah berkaliber untuk memimpin kerajaan negeri.

MB boleh bersara

Jika di Terengganu rakyat di sana memiliki Datuk Dr Khairuddin Aman Razali; di Selangor ada Datuk Iskandar Abdul Samad; Kedah pula PAS memiliki Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Andainya PAS memutuskan untuk Iskandar bertanding di kerusi parlimen sebagai persediaan dilantik menjadi menteri pusat, mereka mempunyai Dr Halimah Ali yang memang berpengalaman lama dalam kerajaan negeri sebelum ini.

Di Kelantan, selain Datuk Ahmad Yakob ada ramai lagi pelapis yang boleh diketengahkan jika PAS memilih untuk membawa muka baru.

Selain Datuk Mohd Amar Abdullah, PAS juga memiliki tokoh tidak kurang hebatnya dalam kepimpinan, pemikiran dan pertuturan iaitu Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Seorang lagi tokoh yang perlu diberikan perhatian ialah Datuk Mohd Nasuruddin Daud yang pernah dilantik sebagai speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Bagi Perak pula, PAS boleh mengulangi kegemilangan dengan sekali lagi menjadi menteri besar. Tidak dapat tidak, tokoh paling layak tentulah Razman Zakaria.

Dalam pemilihan terbaru lalu, bekas pegawai kanan kastam itu mendapat tempat ke-12. Ia bukanlah kedudukan yang calang-calang atau boleh dipandang sebelah mata jika melihat kepada jumlah calon yang bertanding kali ini.

Razman juga pasti dapat menebus segala kesilapan pernah dilakukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum ini.

Perak adalah negeri yang subur untuk PAS. Dengan karisma dan formula bestari beliau, sangat besar kemungkinan untuk rakyat Darul Ridzuan mempunyai seorang menteri besar yang baru.

Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pula bolehlah mula merancang pengisian persaraannya mulai sekarang.

Namun jika Razman menolak - kerana lazimnya seorang mukmin sejati begitulah, enggan memikul tanggungjawab kecuali terpaksa - PAS mempunyai seorang lagi calon berwibawa.

Sampai masanya untuk memberi peluang kepada salah seorang cendekiawan besar pernah ada dalam PAS, Dr Zuhdi Marzuki. Sebagai tokoh akademik yang akrab dengan kajian serta analisis, beliau memang jauh lebih hebatnya berbanding kebanyakan tokoh lain.

Pakar ilmu fikah

Namun potensi PAS tidak terhenti di lima negeri itu saja. Satu lagi negeri yang mungkin ditawan oleh parti Islam itu ialah Pahang.

PAS sudah membuktikan kewujudan mereka di negeri kaya dengan kayu balak itu sejak sekian lama. Jika BN tersilap sedikit saja membuat perhitungan, ada kemungkinan satu-satunya kerusi yang selamat untuk mereka ialah Pekan.

Andainya PAS menawan Wisma Sri Pahang, PAS memiliki sekurang-kurangnya dua tokoh paling layak iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man atau Nasrudin sendiri.

Kedua-duanya sudah teruji sebagai pemimpin yang mempunyai pengaruh besar di kalangan penduduk Pahang ekoran sifat tawaduk mereka serta kesanggupan menyantuni rakyat berbilang bangsa dan agama.

Namun jika ditakdirkan Tuan Ibrahim dan Nasrudin bertanding di parlimen, tokoh ketiga yang boleh diketengahkan ialah Mokhtar Senik.

Selain berwibawa ini adalah peluang terbaik PAS menonjolkan kepimpinan ulama selepas melakukannya dengan cemerlang di Kelantan.

Ketua Dewan Ulama Pahang itu bukan menguasai pelbagai cabang ilmu fikah, beliau adalah pendidik yang disegani.

Mokhtar adalah lepasan universiti Pakistan Makkah, selain pengasas Kompleks Pendidikan An-Nur di Kuantan.

Apa pun, semuanya terserah kepada PAS sekarang. Biasanya, sebagai orang bawahan, tidak banyak yang boleh diperkatakan kepada PAS.

Pemimpin dan penyokong parti itu lazimnya tidak gemar masyarakat membuat andaian atau memberi cadangan kepada mereka.

Perjuangan PAS dilandaskan kepada wahyu dan ilham dari langit. Biarkanlah mereka membuat percaturan mengikut strategi yang tersendiri.

Kita sebagai rakyat cuma dikehendaki memilih mereka apabila tiba hari mengundi nanti.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS