Bagi Ayse Gul Karaman, suaminya, T Karaman adalah lelaki yang 'budiman' kerana tidak akan menyakiti walau serangga sekalipun, apatah lagi manusia.

Oleh itu, tahanan yang dilakukan ke atas beliau oleh pihak polis, kononnya kerana terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan negara, membingungkan fikiran suri rumah warga Turki yang berusia 37 tahun itu.

"Kami telah berada di Malaysia selama hampir 15 tahun, kami tidak terlibat dalam aktiviti seperti itu. Suami saya adalah lelaki yang budiman dan tidak sanggup menyakiti serangga sekalipun.

"Kami anggap Malaysia bukan sebagai rumah kedua kami, tetapi yang pertama. Enam jenazah anak-anak kami yang tidak sempat dilahirkan (ekoran keguguran yang menimpa Ayse) disemadikan di sini," katanya sambil mengelap air mata.

Beliau ditemui di luar sesi perbicaraan Ismet Ozcelik di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Ismet yang merupakan pengarah universiti Turki ditahan oleh para pegawai Jabatan Imigresen pada 13 Disember tahun lalu, walaupun mempunyai pas lawatan sosial yang sah.

Beliau kemudiannya didakwa bersama empat yang lain kerana menghalang penjawat awam.

Peguam Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani juga mempersoalkan cara Karaman ditahan pihak berkuasa ketika beliau pergi berjumpa anak lelaki Ismet, Suheyl di firma peguam di Damansara, petang semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membuat catatan di tweet beliau bahawa Karaman dan seorang lagi warga Turki bernama I Aslan ditahan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

[Baca berita penuh]