Pengurus besar dan isteri direman 5 hari untuk siasatan rasuah
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh perintah daripada Mahkamah Majistret di Putrajaya untuk mereman pengurus besar sebuah anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan isterinya bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kedudukan dan menerima rasuah.
Perintah reman selama lima hari sehingga 8 Mei itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.
Pengurus besar berumur 54 tahun dan isterinya, 50, ditahan di ibu pejabat SPRM pada 6.30 petang semalam.
Menurut kenyataan SPRM semalam, berdasarkan siasatan awal, pengurus besar itu disyaki menerima rasuah bagi meluluskan beberapa projek pembekalan bas, alat ganti bas dan pembaikan bas.
Lelaki itu dipercayai menerima rasuah berjumlah RM 500,000 sejak tahun 2013 menerusi beberapa projek yang dilaksanakan atas penyeliaannya, katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, wang rasuah yang diterima itu dipercayai turut dimasukkan ke dalam akaun milik isterinya sejak 2013.
Kes disiasat mengikut seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan jika disabitkan kesalahan berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan.
- Bernama

