Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MPPJ, Bank Rakyat agih makanan percuma kepada penduduk miskin
Diterbitkan:  May 4, 2017 10:19 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Bank Rakyat akan mengagihkan makanan percuma kepada penduduk miskin menerusi 'mobile soup kitchen' pada setiap hari Sabtu atau Ahad bermula minggu ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata menerusi program 'Meals on Wheels', pihaknya telah mengubah suai sebuah lori muatan lima tan menjadi trak makanan bergerak di bawah projek 'PJ City Food Bank'.

"Memandangkan kami tidak mempunyai gelandangan di kawasan Petaling Jaya, maka pengagihan makanan percuma akan dilakukan di kawasan-kawasan flat kos rendah, PPR (Projek Perumahan Rakyat) dan kampung-kampung di sekitar Petaling Jaya Selatan (PJS), Lembah Subang dan Kota Damansara.

Trak makanan itu akan menyalurkan makanan-makanan berpek dari Pusat Operasi 'PJ City Food Bank' di Seksyen 8 ke kawasan-kawasan tersebut pada setiap hari Sabtu atau Ahad setiap minggu bermula 7 malam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'PJ City Food Truck' di Sekolah Kebangsaan Kelana Jaya 2 di Petaling Jaya semalam.

Katanya trak makanan bergerak itu turut turun ke 12 sekolah terpilih bagi mengagihkan sarapan pagi percuma kepada kira-kira 30,000 murid-murid menerusi program 'Sarapan Pagi Percuma Untuk Kanak-kanak Sekolah' bermula pukul 7 pagi.

"Kami akan turun ke 12 sekolah-sekolah terpilih pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat pada setiap minggu bermula minggu ini," katanya.

Katanya projek 'PJ City Food Bank' telah mendapat tajaan sebanyak RM1.5 juta dari Bank Rakyat sejak pelancarannya pada tahun 2012 bagi menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan setiap tahun bagi tujuan membantu golongan miskin tegar dan kurang bernasib baik di sekitar Petaling Jaya oleh Bank Rakyat di bawah (program) Tanggungjawab Sosial Korporatnya.

Sehingga kini 'PJ City Food Bank' telah menyumbang makanan dan minuman seberat 59.71 tan kepada 1,733 penghuni rumah-rumah kebajikan sekitar Petaling Jaya," katanya.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS