Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SRC akan jual aset untuk bayar balik pinjaman k’jaan
Diterbitkan:  May 4, 2017 5:15 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

SRC International Sdn Bhd akan menjual aset-aset syarikat untuk menyelesaikan hutang yang diambil daripada kerajaan, kata Kementerian Kewangan.

"Tahun 2015 dan 2016 adalah merupakan tahun yang amat mencabar untuk SRC.

"Namun demikian, SRC sentiasa berusaha untuk menyelesaikan semua hutang syarikat.

"Antara langkah yang akan diambil adalah untuk menjual aset-aset syarikat untuk menyelesaikan hutang kepada Kementerian Kewangan," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB tetapi kemudiannya diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Menurut jawapan parlimen, SRC International masih berhutang RM310 juta dengan kerajaan pada kadar faedah empat peratus setahun.

Selain itu, SRC International juga berhutang dengan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) RM4.385 bilion pada kadar faedah antara 4.3 hingga 5.1 peratus setahun.

Kementerian Kewangan mengulangi bahawa SRC International akan membayar hutangnya kepada KWAP mengikut jadual yang ditetapkan.

Jawapan bertulis Parlimen itu adalah merujuk kepada soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang menyoal mengenai hutang tertunggak SRC International.

Tidak seperti tumpuan siasatan antarabangsa ke atas 1MDB yang dananya dipercyai iselewengkan, penelitian antarabangsa ke atas SRC International hanya terhad kepada
siasatan Swiss.

Pihak berkuasa Switzerland percaya bahawa sekurang-kurangnya AS$800 juta daripada dana SRC International telah disalahgunakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak juga dilaporkan menerima dana daripada SRC International melalui beberapa perantara sebelum wang itu berakhir di akaun bank peribadinya.

Walau bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku atas alasan bahawa beliau tidak menyedari wang berkenaan dimasukkan akaun banknya.

 

Lihat Komen
ADS