Seorang pelajar lelaki maut selepas dia dan motosikal yang ditunggangi dihempap dahan pokok yang patah ketika dalam perjalanan ke sekolah dalam kejadian di Jalan Ayer Molek di Melaka, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Seri Kota di sini iaitu Mohamamad Nor Danial Mohd Khir, 17, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

"Sebelum kejadian, mangsa yang tinggal di Taman Kelubi Jasin dalam perjalanan ke sekolah dengan menunggang motosikal milik bapanya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan awam mendapati mangsa dan motosikal yang dinaiki dihempap dahan pokok yang patah sebaik tiba di lokasi kejadian dari arah lampu isyarat Ayer Molek/Tehel ke arah bulatan Ayer Molek.

Katanya mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

- Bernama