Siasatan kematian Thaqif belum mencukupi
Polis perlu menyambung semula siasatan ke atas seorang pembantu warden sebuah madrasah tahfiz selepas Pejabat Peguam Negara tidak berpuas hati dengannya.
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bukti yang diperolehi pasukan penyiasat tidak memadai dan kertas siasatan berkenaan dikembalikan semula oleh pejabat terbabit yang bertanggungjawab menguruskan sesuatu pendakwaan.
"Bukti tidak mencukup dan kertas siasatan dikembalikan kepada polis untuk diperbaiki," katanya dipetik The Star hari ini.
Pembantu warden terbabit awalnya ditahan reman selama empat hari pada 23 April lalu bagi membantu siasatan kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang menuntut di Madrasah Tahfiz al-Jauhar (MTAJ), Kota Tinggi, Johor.
Mohamad Thaqif yang terpaksa dipotong kedua-dua kakinya akibat jangkitan kuman didakwa kesan sebatan akhirnya meninggal dunia pada 26 April lalu di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Kanak-kanak berusia 11 tahun itu dikatakan disebat dengan getah paip.
Pembantu warden terbabit dibebaskan dengan ikat jamin semalam.
Kata Khalid, kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu peruntukan bagi kesalahan membunuh.
MTAJ sebelum ini menegaskan, getah paip tidak pernah menjadi tatacara operasi standard (SOP) di pusat pengajian berkenaan.
Mereka juga menegaskan tidak akan mempertahankan mana-mana pihak jika terbukti melakukan kesalahan dalam kejadian berkenaan.

