Warga emas terperangkap dalam arus deras banjir
Seorang warga emas yang sedang menunggang motosikal melalui Jalan Bahau - Kampung Terusan, Kuala Pilah dekat Seremban, terperangkap selepas arus deras banjir secara tiba-tiba melimpah ke atas jalan raya tersebut, dalam kejadian awal hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Ahmad Mohd Akhir berkata arus deras turut menyebabkan warga emas berusia 64 tahun itu terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya dalam kejadian pada jam 3.12 pagi.
"Mangsa yang panik kerana enjin motosikalnya tidak boleh dihidupkan semula, hanya mampu berdiri di lokasi kejadian dan tidak boleh berbuat apa-apa kerana keadaan di kawasan itu gelap.
"Mangsa bagaimanapun menghubungi anaknya yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada bomba," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata bomba tiba di lokasi pada jam 3.39 pagi dan paras air ketika itu adalah sekitar 0.6 meter.
- Bernama

