Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adam 'serang' Rafizi isu dana Invoke, NOW
Diterbitkan:  May 5, 2017 3:50 PM
Dikemaskini: 6:38 PM

Ketegangan dalaman PKR berterusan.

Pemimpin muda PKR Datuk Adam Rosly, yang berdepan siasatan rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menuntut naib presidennya Rafizi Ramli telus berkaitan dana dua NGO diasaskannya.

Dalam kenyataannya hari ini, Adam tampil berkata beliau tidak boleh berdiam diri lagi kerana telah lama bersabar.

Adam, yang sedang bercuti sebagai ketua Pemuda PKR Ampang, menuntut Rafizi mendedahkan dana pusat penyelidikan Invoke dan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW).

“Kebimbangan terbesar adalah terhadap kutipan dana secara besar-besaran daripada orang ramai bagi pihak Rafizi NGO Invoke dan NOW. Ini koleksi wang daripada orang awam secara berterusan.

“Satu perkara aneh apabila Rafizi telah gagal untuk mendedahkan butiran pengumpulan dana tersebut, walaupun beliau sering menyeru semua pihak, iaitu BN dan pembangkang, untuk mengisytiharkan aset mereka,” katanya.

Adam pada 3 Mei lalu menempelak Rafizi yang didakwanya menggambarkan seolah-olah dia bersalah atas tuduhan memalsukan keterangan dan dokumen dalam siasatan rasuah SPRM.

Tiga hari selepas Adam diheret ke mahkamah, Rafizi berkata, PKR wajar menjauhkan diri daripada kemelut peribadi pemimpin akar umbi itu, terutama menjelang pilihan raya umum ke-14.

Rafizi berkata PKR mesti dilihat tegas dan berpegang kepada piawai moral dan keamanahan yang jauh lebih tinggi berbanding parti-parti lain.

Adam menyeru Rafizi mendedahkan perkara itu dalam tempoh 48 jam bermula hari ini demi memelihara keyakinan orang ramai terhadap PKR dan Pakatan Harapan.

“Sekiranya Rafizi Ramli gagal mematuhi tuntutan ini, saya akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya tanpa mendedahkan rancangan lanjutnya.

Rafizi dituntut menjelaskan:

  • Jumlah wang yang telah dikumpulkan daripada orang ramai oleh Invoke dan NOW.
     
  • Bagaimana wang itu dibelanjakan setakat ini.
     
  • Nama semua individu yang telah menerima dana yang dikumpul oleh Invoke.
Lihat Komen
ADS