Penduduk Pangsapuri Cheras Ria di ibunegara mendakwa sikap tidak bertanggungjawap penghuni warga asing yang suka membuang sampah dan berkumpul beramai-ramai menjadikan kehidupan mereka di situ kurang selesa.
Lebih membimbangkan apabila warga asing itu sering kali bertindak membuang sampah dari tingkat atas blok pangsapuri sehingga mencetuskan kemarahan penduduk tempatan.
Selain membuang sampah di tangga, warga asing yang dipercayai etnik Rohingya turut membuang alat-alat elektrik yang rosak, sirih dan botol arak di lorong-lorong pejalan kaki serta membuat bising pada waktu malam.
Malah menurut penduduk, selain masalah kebersihan, kebanjiran pendatang asing yang sering berkumpul ketika waktu petang begitu membimbangkan, apabila mendakwa kes kecurian membabitkan kenderaan penduduk tempatan dan pecah rumah meningkat.
Suri rumah Fatimah Mohd Mahidin, 54, mendakwa hampir 50 peratus daripada penghuni di Pangsapuri Cheras Ria merupakan warga asing dari Myanmar, Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Vietnam.
Katanya warga asing itu berkumpul di taman permainan kanak-kanak hampir setiap petang dan meninggalkan sampah-sarap selepas bersurai, menyebabkan longkang di situ sering tersumbat.
"Akibat daripada sikap kotor mereka, kawasan kami dilabel sebagai kawasan hitam demam denggi dan lebih 10 kes dilaporkan dari Januari sehingga kini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Warga emas Kok Koei Lan, 65, menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya dan penduduk lain apabila warga asing sering membuang sampah dari tingkat atas pangsapuri mereka.
"Sudah beberapa kali botol kaca dibuang dari tingkat atas ketika saya hendak turun ke pasar dan pernah sekali kepala saya terkena botol plastik yang jatuh dari atas," katanya.
Pekerja swasta S Karthikesu, 56, mendakwa kes kecurian dan pecah rumah semakin meningkat sejak warga asing mula mendiami pangsapuri tersebut lima tahun lalu dan hampir setiap minggu ada sahaja penduduk mengadu rumah dipecah masuk.
"Walaupun sudah beberapa kali mengadu kepada JMB (Badan Pengurusan Bersama) pangsapuri dan membuat laporan polis, masalah ini masih berlaku dan dilihat semakin serius," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita MCA Wilayah Persekutuan Heng Sinn Yee berkata pihaknya akan memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Alam Flora dan polis untuk tindakan lanjut.
"Pihak berkuasa perlu melakukan rondaan dengan lebih kerap kerana kami difahamkan kawasan ini jarang dilakukan rondaan kerana terletak di pinggir bandar.
"Selain itu, kami turut akan membantu penduduk membuat permohonan menambah bilangan lampu jalan di sekitar kawasan Pangsapuri Cheras Ria dan meminta Jabatan Imigresen membuat operasi bagi membanteras warga asing tanpa izin di kawasan ini," katanya.
- Bernama
