Seorang tukang perahu kuno khas di Wales, Andrew Davies tidak menyangka bahawa sebilah keris dari kurun ke-18 yang mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi telah tersangkut pada pukatnya di Sungai Towy, Wales.
"Pada suatu malam saya bekerja dengan perahu coracle saya, jaring saya seolah-olah tersangkut sesuatu, ketika menariknya, saya dapati terdapat sebatang besi tersangkut.
"Apabila melihat besi itu, saya betul-betul terkejut kerana menemui benda seumpama ini,” katanya seperti dilapor portal dailymail.co.uk.
Andrew yang terkejut dengan penemuan itu lantas membawanya kepada pihak muzium untuk dikenal pasti bagaimana keris bersejarah itu boleh berada di sungai berkenaan.
“Perkara ini sangat menarik, saya nak tahu bagaimana (keris) ini berada disini,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Pihak yang pakar mengenai “pedang” tersebut percaya ia adalah sebilah keris yang berasal dari Asia Tenggara, Malaysia.
Walaupun ia berkait rapat dengan budaya Indonesia keris juga berasal dari Malaysia, Thailand, Brunei, Singapura dan Filipina di mana ia dikenali sebagai Kalis.
Sementara itu Wales Online melaporkan Kurator Carmarthenshire Museum, Gavin Evans berkata, beliau telah menghantar beberapa keping gambar keris berkarat itu ke sebuah muzium di London untuk dikaji namun masih belum menerima penjelasan mengenainya.
"Saya belum menerima sebarang penjelasan daripada pihak muzium, tetapi saya percaya senjata ini berasal daripada Asia Tenggara atau pun Malaysia."
"Pada awalnya, saya ingat keris ini berasal daripada Romawi, namun setelah menelitinya lebih terperinci dengan bentuk eksotiknya yang membuatkan saya percaya ianya berasal dari Asia Tenggara."
"Ini adalah keris kerana hiasan di bahagian atasnya. Gagang kayunya mempunyai hiasan berbentuk burung dengan hiasan tulang dan tembaga," beliau dilaporkan sebagai berkata.
