Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang percaya PRU14 medan p'raya terakhir baginya
Diterbitkan:  May 6, 2017 8:38 AM
Dikemaskini: 1:16 AM

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang percaya pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan menjadi medan pilihan raya yang terakhir baginya.

Ahli politik berusia 76 tahun itu berkongsi pandangan beliau tentang masa depan politiknya di majlis makan malam mengumpul dana DAP di kawasan parlimennya di Gelang Patah, yang turut dihadiri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selepas ucapan panjang lebar mengenai masa depan negara dan kewajaran kerjasama dengan Dr Mahathir, Lim pada akhir ucapannya menyentuh tentang prospek dirinya sendiri.

"Saya telah berada dalam politik selama 51 tahun.

"Saya percaya pilihan raya umum akan datang - pilihan raya umum ke-14 - akan menjadi medan pilihan raya terakhir saya," katanya.

Lim sekali lagi menegaskan bahawa kalau boleh, pilihan medan pilihan raya terakhir beliau biarlah di Gelang Patah.

"Ramai yang bertanya di mana saya akan bertanding. Pilihan pertama saya ialah di Gelang Patah.

"Tetapi sudah tentunya, keputusan muktamad terserah kepada parti," kata beliau sambil menegaskan tentang keperluan terhadap pertimbangan strategik.

Lim berkata beliau berharap Gelang Patah akan menjadi simbol bagi negara untuk mencapai impian yang diperjuangkannya selama ini.

Satu impian, katanya, di mana politik Malaysia membawa kepada kualiti kehidupan yang lebih baik, kebebasan dan keadilan untuk semua rakyat Malaysia dan mengurangkan politik perkauman dan agama.

Dalam ucapannya, Lim juga menyentuhkan tentang kerjasama beliau dengan Dr Mahathir.

"Ada yang mempersoalkan mengapa, memandangkan Dr Mahathir tangkap saya dan (anak saya) Lim Guan Eng... jadi bagaimana kita boleh bekerjasama sekarang," katanya.

Bagaimanapun, Lim menekankan tentang keperluan untuk melihat gambaran yang lebih besar ketika berdepan dengan sebuah kerajaan kleptokratik yang memerintah negara ini.

"Untuk menyelamatkan negara kita, kita perlu mengetepikan perbezaan kita untuk matlamat yang lebih besar," katanya.

Dalam pilihan raya umum lepas, Lim bertanding di kawasan Parlimen Gelang Patah sebagai sebahagian daripada strategi DAP untuk membuka laluan baru di Johor.

Strategi meletakkan pemimpin utamanya bertanding dalam PRU13 menyaksikan DAP memenangi empat kerusi Parlimen dan 13 kerusi negeri di Johor.

Sebelum itu, Lim merupakan anggota Parlimen Ipoh Timur, di Perak.


[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS