Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib umum RM80 juta untuk Lapangan Terbang Sandakan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM80 juta bagi projek naik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan yang akan dimulakan pada pertengahah tahun ini.

Beliau berkata pemanjangan landasan itu akan membolehkan pendaratan pesawat lebih besar terutama penerbangan terus dari China, Korea, Jepun dan dari destinasi lain.

Katanya, keputusan memanjangkan landasan itu dibuat di luar jadual Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) selepas hasil pertemuan beliau dengan pengusaha pelancongan di daerah ini ketika melakukan program tinjauan mesra di Harbour Square Sandakan di sini, pada 3 Mac lepas.

'Wakil pengusaha pelancongan telah membuat permintaan ini bagi membolehkan lebih banyak penerbangan terus ke daerah ini.

"Ketika itu, saya terus menghubungi Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) dan meluluskan pelaksanaan projek ini ," katanya ketika berucap pada pelancaran bangunan terminal baharu dan projek naik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan di Sandakan hari ini.

Kerja naik taraf itu antaranya memanjangkan landasan dari 2,134 meter kepada 2,500 meter.

Najib berkata kontraktor yang melaksanakan projek naik taraf terminal Lapangan Terbang Sandakan sebelum ini akan menjalankan projek memanjangkan landasan itu.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu akan disegerakan iaitu bermula pertengahan tahun ini.

Perdana menteri menyifatkan projek naik taraf landasan itu penting kepada usaha merancakkan sektor pelancongan di daerah ini dan seterusnya menjana ekonomi rakyat.

Katanya, kehadiran lebih ramai pelancong juga akan meningkatkan jumlah pelanggan di hotel sekitar daerah ini dan daerah berhampiran serta memajukan tarikan ekopelancongan.

Najib berkata projek ini juga sejajar dengan komitmen beliau untuk memastikan Sabah maju ke hadapan dan seimbang dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Katanya, Sabah mempunyai potensi besar dan apa yang diperlukan negeri ini adalah pembangunan infrastruktur bagi kemudahan rakyatnya.

Dalam pada itu, beliau mahu rakyat khususnya di negeri ini terus memberikan sokongan kepada kerajaan bagi memastikan kesinambungan usaha membangun dan memajukan negara.

Sebab itu, katanya, rakyat jangan termakan hasutan parti pembangkang yang mahu menghasut dan mengelirukan rakyat.

Katanya, ini merupakan dua senjata pembangkang bagi meraih sokongan rakyat. -Bernama

 

 

Lihat Komen
ADS