Dua menteri penuh dan dua menteri muda Kabinet Sarawak mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di Kuching, semalam.

Dua menteri penuh itu ialah Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan) dan Datuk Talib Zulpilip (Menteri di Jabatan Ketua Menteri bagi Integriti dan Ombudmen).

Abdul Karim dan Talib sebelum ini adalah menteri muda tetapi dilantik menjadi menteri penuh dalam rombakan Kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam selepas berakhirnya konvensyen khas Jasamu Dikenang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Dua menteri muda baharu yang mengangkat sumpah hari ini ialah Abdullah Saidol (Hal Ehwal Korporat di Pejabat Ketua Menteri) dan Snowdan Lawan (Belia dan Sukan).

Dalam rombakan Kabinet itu juga, pemangku Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sarawak ketiga.

Beliau juga dilantik sebagai Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, sambil mengekalkan portfolio sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan.

Ketika ditemui pemberita kemudian, anggota baharu dalam Kabinet Negeri Sarawak itu berterima kasih kepada Abang Johari kerana menaruh kepercayaan terhadap mereka.

Talip berkata beliau akan cuba untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin dalam menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul manakala dalam soal integriti pula, beliau akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam jabatan dan agensi kerajaan bagi memastikan integriti di kalangan petugas-petugas awam dipelihara.

Abdul Karim berkata beliau akan berusaha untuk mengembangkan bidang sukan di negeri ini sebagai produk pelancongan berbekalkan pengalaman sebagai Menteri Muda belia dan Sukan selama lebih setahun yang dapat membantu beliau merealisasikan perancangan itu.

"Selain melibatkan rakyat dalam bidang sukan, kita akan berusaha menjadikan sukan antara produk pelancongan dengan membawa lebih banyak acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa ke Sarawak," katanya.

Snowdan pula berkata beliau akan berbincang dengan Abdul Karim berkaitan cara untuk mempertingkatkan mutu sukan negeri ini dengan melahirkan lebih ramai bakat sukan muda, seterusnya menjadikan Sarawak sebagai 'Sports Powerhouse'.

Dalam pada itu, Abdullah akan menggunakan pengalaman beliau dalam sektor korporat untuk mengembangkan sektor berkenaan di Sarawak.

"Walaupun ini adalah portfolio yang baharu tetapi saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu ketua menteri merealisasikan agenda dan dasar beliau untuk memajukan eknonomi negeri ke peringkat yang lebih mantap," katanya.

Beliau berkata satu daripada aspek ekonomi yang akan diberi tumpuan adalah usaha meningkatkan pelaburan korporat ke negeri Sarawak.

- Bernama