Akhbar: Firma China tak yakin dengan projek pelabuhan di M'sia
Selepas perjanjian membangunkan Bandar Malaysia tidak menjadi kenytaan, terdapat tanda-tanda komplikasi dalam percubaan untuk menarik pelaburan dari China, khususnya berhubung dua projek mega-pelabuhan baru di Malaysia.
Menurut Straits Times Singapura, projek Pulau Carey, bernilai RM100 bilion, sepatutnya membabitkan rakan-rakan dari China.
Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak menjadi orang tengah dalam satu perjanjian bulan lalu antara firma Adani Ports and Special Economic Zone Ltd dari India dan MMC Corp.
Laporan yang memetik sumber itu mendakwa MMC Corp pada mulanya mahu China Merchants Group (CMG) sebagai rakan kongsi mereka, tetapi mendapati syarat-syarat mereka agak keterlaluan.
"MMC tidak mampu untuk membiayai projek tersebut sendiri. Tetapi CMG tidak mahu peranan mereka sekadar sebagai menjadi bank,” kata sumber itu, menurut Straits Times.
Matlamat projek Pulau Carey itu, yang dijadualkan siap pada tahun 2025, adalah untuk mengendalikan 30 juta TEU kargo kontena, yang hampir sama dengan apa yang dikendalikan oleh Pelabuhan Singapura pada masa ini.
China juga dikatakan semakin tidak berminat projek pelabuhan laut dalam, berhampiran dengan projek Melaka Gateway.
Menurut Straits Times, pihak industri berkenaan dan pegawai kerajaan meragui bahawa projek berkenaan akan diteruskan memandangkan syarikat Cina masih menilai potensi pulangannya.
"Dalam tiga tahun, mereka telah menjemput pelbagai menteri termasuk perdana menteri dengan menghadiri beberapa pelancaran dan pemeteraian perjanjian persefahaman, tetapi masih belum ada perjanjian yang benar-benar mengikat secara undang-undang," kata sumber kerajaan itu memberitahu Straits Times.
Projek Melaka Gateway bernilai RM43 bilionitu diterajui oleh KAJ Development yang tidak berapa dikenali dan akan melibatkan projek pelancongan, perdagangan, harta tanah dan perkembangan maritim.

