Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan boleh lucut kerakyatan Jho Low, kata Zahid
Diterbitkan:  May 9, 2017 8:26 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Kerajaan boleh melucutkan kerakyatan tokoh perniagaan berkaitan 1MDB, Jho Low jika beliau didapati juga memiliki pasport Amerika Syarikat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) yang memintanya menyatakan jika Low melakukan kesalahan imigresen dengan memegang dua pasport Amerika Syarikat dengan nama berlainan.

Menurut Azman, kenyataannya itu adalah berdasarkan testimoni perbicraaan kes 1MDB di Singapura.

Zahid berkata, Malaysia tidak mengiktiraf dua kerakyatan dan mereka yang ingin memilih kewarganegaraan lain perlu melepaskan kerakyatan Malaysia.

"Dalam kes Low, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri boleh mengambil tindakan melucutkan kewarganegaraan beliau sekiranya terbukti beliau sememangnya memegang dua pasport Amerika Syarikat dengan nama yang berlainan," kata Zahid.

Menteri Dalam Negeri itu pada Mac lalu memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Low masih seorang rakyat Malaysia kerana kementeriannya tidak menerima sebarang permohonan daripada ahli perniagaan itu untuk melepaskan kewarganegaraannya.

Sarawak Report melaporkan Low mempunyai dua pasport Amerika Syarikat, yang dibenarkan mengikut undang-undang negara itu.

Pada Januari lalu, sebuah mahkamah di Singapura dimaklumkan bahawa Low menggunakan nama "Eric Tan Kim Loong" ketika berurusan dengan pengurus Falcon Private Bank cawangan Singapura, iaitu Jens Sturzeneggar.

Nama Eric Tan timbul berulang kali dalam siasatan sebagai pemilik beberapa syarikat, yang didakwa menerima dana 1MDB.

Sementara itu, dalam jawapan parlimen yang berasingan, Zahid berkata polis telah menyerahkan kertas siasatan yang dijalankan ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi kepada Jabatan Peguam Negara.

Katanya, pihak polis sedang menunggu arahan selanjutnya daripada jabatan itu.

Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baru), yang meminta status terkini siasatan polis ke atas Shahrol, yang dinamakan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai bertanggungjawab tanpa niat dalam salah urus 1MDB.

Abd Aziz adalah anggota PAC.

Lihat Komen
ADS