'Kanak-kanak berbakat perlu dipupuk'
Ramai pelajar berbakat PERMATA telah menghasilkan kajian dan berjaya diterbitkan dalam journal, kata isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga merupakan penaung PERMATA.
Beliau berkata, kebanyakan mereka dibimbing oleh anggota Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsan Malaysia (UKM).
Oleh itu, dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara fakulti tersebut dan Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Universiti Cambridge, ia akan memanfaat pelajar berbakat PERMATA, katanya pada majlis menandatangani MoU itu di London, Isnin.
Ia ditandatangani antara Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Universiti Cambridge, Prof John Dennis dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Profesor Sahrim Ahmad.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim, Menteri di Jabatan Perdan Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi, Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Riza Atiq Abdullah Rahmat, Pegawai Antarabangsa Univeristi Cambridge, Allen Swales dan Timbalan Ketua Jabatan Kajian Universiti Cambridge, Prof Elizabeth Hall.
Rosmah berkata, pelajar berbakat mempunyai pemikiran abstrak tahap tinggi dan kebolehan memilki dan mengguna pakai pengetahuan dan strategi maju bagi menyelesai masalah selain menerimanya bagi tujuan mulia.
"Apabila dipupuk sejak muda, bakat mereka dapat dioptimum melepasi prestasi tahap tinggi dalam sebarang bidang," katanya.
Beliau juga berkata, Hall yang merupakan profesor pelawat di Bengkel Minda Nobel Permata Pintar di UKM pada September lalu telah membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari lebih banyak mengenai STEM ( bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).
"Penglibatan beliau membolehkan para pelajar yang dipilih bagi Institut Sains melawat Cambridge sebagai sebahagian daripada program pengajian mereka," tambahnya.
Rosmah berharap penglibatan awal Profesor Hall dengan PERMATA Pintar akan membawa kepada kolaborasi lebih besar yang dapat mencipta peluang dan hala tuju untuk pelajar PERMATA memanfaat daripada tawaran yang terdapat di Univeristi Cambridge.
Beliau berharap universiti berkenaan akan turut membantu penubuhan Pusat Kajian PERMATA yang akan menyediakan persekitaran paling kondusif untuk membina budaya kecemerlangan dalam kajian bagi kalangan alumni PERMATA.
- Bernama

