Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda AMANAH cadang Azmin rombak S’gor, ketepikan PAS

Naib Ketua Pemuda Nasional AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin mencadangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya segera melakukan rombakan kabinet dengan mengetepikan PAS.

Kata Shazni, ‘bola’ kini berada di kaki Mohamed Azmin sama ada mahu terus bersangka baik dengan PAS atau merombak kabinet Selangor bagi mengukuhkan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Muktamar terima untuk putus tahaluf siyasi dengan PKR, setelah berkerat rotan dengan AMANAH dan DAP sebelumnya, maka di mana relevannya untuk PAS kekal dalam kabinet negeri,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, jika persediaan ke arah peralihan kerajaan sedang dibuat, keempat-empat parti dalam HARAPAN iaitu PKR, AMANAH, DAP dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) boleh memikul tanggungjawab untuk tujuan tersebut.

“Kita percaya, usaha awal ke arah memperkukuhkan gabungan PKR, AMANAH, DAP dan BERSATU di Selangor, mampu menjadi faktor terbaik bagi mengelakkan Selangor jatuh ke tangan kleptokrasi BN,” katanya.

Sementara itu, dalam laporan Utusan Malaysia hari ini melaporkan, PAS Selangor bertegas pihaknya tidak akan keluar daripada kerajaan negeri itu meskipun Majlis Syura Ulama memutuskan tiada lagi hubungan politik dengan PKR.

Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru, Sallehen Mukhyi berkata, mana-mana pihak yang mengimpikan untuk mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan parti Islam itu boleh berhenti daripada terus berangan.

Kenyataan itu dikeluarkan menjawab desakan Shazni yang mendesak supaya Mohamed Azmin Ali agar segera melakukan rombakan dengan mengetepikan PAS.

“Saya fikir tuntutan AMANAH itu menunjukkan mereka sebenarnya tidak sabar nak jawatan dalam kerajaan negeri,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sallehen turut berkata, PAS perlu kekal dalam pentadbiran negeri kerana ia adalah mandat diberikan rakyat pada PRU lalu dan bukannya diberikan oleh PKR, DAP mahupun AMANAH.

“Soal tahaluf siyasi itu adalah melibatkan kerjasama politik dengan PKR bukannya melibatkan soal pentadbiran Selangor. Maka pendirian kita ketika ini ialah kekal berada dalam kerajaan negeri, kita mahu memastikan kepentingan maslahat rakyat Selangor dilindungi,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS