Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS bukan lahir dari sayap Umno semata-mata
Diterbitkan:  May 9, 2017 3:49 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

PAS hari ini menempelak Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana mengaitkan mereka dengan kemungkinan kembali kepada Umno.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata kenyataan dibuat Tengku Adnan semalam memberi gambaran seolah-olah PAS ingin kembali ke pangkuan Umno selepas parti itu sendiri lahir daripada sayap Umno.

Kata Nasrudin, pada asasnya PAS ditubuhkan oleh orang Umno tetapi bukan sayap kepada Umno.

"Pada masa sama, PAS juga ditubuh oleh ahli-ahli Hizbul Muslimin selepas ia diharamkan pada 1948.

"Ini bererti bukan ahli Umno sahaja yang terlibat dengan penubuhan PAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS ditubuhkan pada November 1952 dengan sebahagian pengasasnya adalah ahli Umno yang berada dalam biro agama parti berkenaan.

Hakikat itu menyebabkan pengkritik mempersendakan kelahiran PAS kerana mempunyai kaitan dengan Umno yang menjadi seteru politik mereka.

Keadaan itu menjadi lebih hangat selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mendakwa DAP adalah "anak butir tahi" kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura.

Menurut Nasrudin, orang ramai perlu membaca sejarah penuh penubuhan PAS dari pelbagai sudut dan segera membuat kesimpulan tidak tepat.

Memetik tulisan N J Fuston berjudul Malay Politic in Malaysia, 1945-1969, A Case Study of the Umno and the Pan-Malayan Islamic Party (PAS) Nasrudin berkata, PAS mewarisi tiga ideologi politik iaitu tradisi sosialis, tradisi modernisasi Islam dan tradisi perjuangan pertubuhan anti-Umno pada 1950-an.

"Ini menguatkan lagi dakwaan bahawa tidak semudah itu untuk menjustifikasikan PAS lahir dari sayap Umno semata-mata," katanya.

Dalam kenyataan sama, anggota parlimen Temerloh itu juga berkata, PAS komited terhadap gerakan Gagasan Sejahtera.

Justeru, katanya, PAS terus akan kritikal memberikan pandangan, mengangkat isu nasional dan mengkritik sebarang pencemaran budaya politik dan ekonomi negara.

PAS juga, katanya, sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan dalam isu ummah dan melibatkan kepentingan agama Islam.

"PAS akan memainkan peranan yang signifikan dalam arus perdana politik tanah air seterusnya jujur dalam mengkritik, tegas berpegang pada prinsip Islam berasaskan konsep keadilan dan kesatuan ummah serta mewujudkan semak dan imbang (check and balance) yang berkesan kepada pembangunan masa depan masyarakat dan negara," katanya.

Lihat Komen
ADS