Penduduk Kampung Poh, Bidor berdepan masalah banjir lumpur semalam, kali keempat tahun ini sehingga menyebabkan kehidupan mereka dilanda kepayahan dan terpaksa menanggung kerugian puluhan ribuan ringgit sejak awal tahun ini.

Dibuka sejak lebih 20 tahun lalu, kesemua penduduk kampung yang dianggarkan melibatkan 1,000 keluarga difahamkan tidak pernah berdepan keadaan seperti itu sehinggalah kerja-kerja pembukaan penempatan perumahan tersusun tambahan dimulakan.

Seorang penduduk, Mahyan Abas memberitahu Malaysiakini, insiden pertama berlaku pada bulan Febuari yang lalu, diikuti pertengahan April, awal Mei dan terbaru, 8 Mei 2017.

"Masalah banjir lumpur tidak pernah timbul sebelum ini kerana sistem perparitan asal mampu menampung aliran air yang datang dari kawasan lombong tinggal yang terletak dalam dua kilometer dari penempatan.

"Kejadian banjir lumpur kerap berulang sebaik sahaja kerja-kerja pembukaan penempatan perumahan tersusun tambahan dilakukan kerana tidak mengambil kira sistem perparitan yang sempurna.

Pihaknya, kata Mahyan, pernah mengambil inisiatif sendiri dengan mengajukan masalah tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sungkai, A Sivanesan.

Sivanesan, tambahnya, dengan segera melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Pejabat Tanah & Daerah Tapah yang bertindak mengambil serius masalah banjir lumpur yang melanda penduduk.

"Difahamkan, masalah ini juga telah sampai ke pengetahuan menteri besar Perak kerana rakyat perlu didahulukan," katanya.

Namun, persoalan ialah sampai bila hendak bermandikan lumpur jika masalah rakyat dipandang mudah, kata Mahyan lagi.

Bagi Maryam Sidek pula, pihaknya percaya perancangan pembinaan infrastruktur dan utiliti yang tidak dilaksanakan mengikut proses yang sepatutnya menjadi penyebab berlakunya banjir lumpur yang kerap di kawasan tersebut.

"Selain itu, prosesnya meragukan dan tidak dilaksanakan oleh pihak yang pakar selain pelantikan pihak yang membuka kawasan di kalangan ahli yang mengusahakan dan tidak mengikut prosedur PBT yang sewajarnya.

"Keadaan menjadi semakin buruk akibat ekoran kekerapan taburan hujan dan limpahan air daripada kawasan lombong tinggal berhampiran yang mengakibatkan sistem perparitan tidak mampu menampung jumlah air," jelas beliau lagi.

Seorang lagi penduduk, Sabariah Abu Bakar pula berkata, pihak berwajib terutamanya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) didakwa tidak mengendahkan masalah.

"JKKK juga lambat mengambil tindakan yang sewajarnya selain pihak yang membuka kawasan tidak mahu mengambil tanggungjawab memperbaiki masalah yang terjadi," ujarnya lagi.