Bilangan pekerja mahir Malaysia yang pulang dari luar negara di bawah program Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) masih belum melepasi sasarannya setiap tahun.

Tahun lepas, Program Kepulangan Pakar (REP) yang dijalankan TalentCorp hanya dapat menarik seramai 398 orang untuk kembali ke negara ini berbanding jumlah 1200 orang yang disasarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TalentCorp, Shareen Shariza Abdul Ghani, berkata rakyat Malaysia yang telah menghabiskan masa yang lama di luar negara mungkin tidak biasa dengan peluang dan pertumbuhan di Malaysia.

Cabaran-cabaran lain termasuk faktor peribadi, seperti pendidikan anak-anak, menjadi sebab ketara yang menghalang rakyat Malaysia daripada kembali ke negara ini.

"Apa yang perlu kita lakukan adalah 'menjual' negara yang lebih baik, 'menjual' peluang supaya mereka akan mahu kembali," kata Shareen dalam sidang meja bulat dengan pemberita semalam.

REP dilancarkan semula pada tahun 2011 dengan matlamatnya untuk memberi pengecualian cukai dan insentif lain bagi rakyat Malaysia yang mahir untuk kembali dari luar negara.

Menurut angka TalentCorp, kebanyakan rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam REP adalah daripada sektor minyak dan gas, diikuti oleh sektor kewangan dan perakaunan, perkhidmatan perniagaan, komunikasi serta sektor elektrik dan elektronik.

Kebanyakan peserta REP adalah dari Singapura, China, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

Bilangan peserta bagi 2016 adalah kurang separuh daripada jumlah 800 yang disasarkan.

Pada 2016, anggaran bajet TalentCorp adalah RM9.42 juta, yang mana 5.5 peratus (RM518,000) telah diperuntukkan untuk REP.

[Baca berita penuh]