Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesuruhjaya kanak-kanak perlu diwujudkan - Azalina

Pesuruhjaya Kanak-kanak perlu diwujudkan bagi memantau, menyelaras dan mengkaji semua undang-undang berkaitan jenayah seksual kanak-kanak, kata Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata pesuruhjaya itu yang akan bergerak secara bebas, bukan sahaja mengkaji peraturan undang-undang tetapi juga dari segi elemen dan dasar sesuatu undang-undang itu terhadap jenayah seksual kanak-kanak.

Keperluan untuk mewujudkan Pesuruhjaya Kanak-kanak ini akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan hasil tinjauannya ke atas Mahkamah Kanak-kanak di India dan United Kindom, kata Azalina kepada wartawan Malaysia di sini Selasa.

Azalina bersama isteri perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Permata Negara, serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mengadakan lawatan ke Mahkamah Majistret Stratford di London yang dijadikan Mahkamah Keganasan Rumahtangga.

Selain mengikuti prosiding mahkamah tersebut, mereka diberi taklimat oleh Pengurus Pendakwaan Perundangan mahkamah itu Paul Okebu mengenai pengendalian kes jenayah seksual kanak-kanak.

Mereka turut mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Crown Prosecution Service yang diketuai Duncan Moass, Timbalan Ketua Bahagian Antarabangsa, mengenai perkara yang sama.

Turut bersama ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom Datuk Ahmad Rasidi Hazizi dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Sebelum ke London, Azalina mengadakan lawatan ke India bagi melihat pelaksanaan Mahkamah Kanak-kanak di negara itu.

Menyentuh mengenai penubuhan Mahkamah Kanak-kanak yang pertama di Malaysia iaitu di Istana Kehakiman di Putrajaya, Azalina berkata mahkamah itu yang akan mula beroperasi pada Jun ini akan turut mengendalikan kes jenayah seksual kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi mengendalikan kes-kes berkaitan jenayah tersebut yang memerlukan kepakaran dan kefahaman yang mendalam mengenai kanak-kanak, beliau berkata hakim Mahkamah Sesyen serta pihak pendakwaan akan menjalani kursus khas mulai Khamis ini.

Azalina berkata pihaknya juga akan berusaha membawa pakar-pakar yang mengendalikan kes-kes jenayah seksual dari India dan United Kingdom ke Malaysia untuk berbincang mengenai pengalaman mereka mengendalikan mahkamah tersebut dengan pihak hakim dan pendakwaan.

Katanya mereka yang mengendalikan kes jenayah seksual, termasuk pihak pembelaan, perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran dalam mengendalikan kes tersebut kerana ia amat berbeza dengan pengendalian kes mahkamah yang sedia ada.

Berhubung pemerhatiannya terhadap pengendalian kes sedemikian di London, Azalina berkata beliau begitu tertarik dengan kepantasan mereka merakamkan keterangan daripada kanak-kanak terbabit apabila berlaku sesuatu kejadian.

"Mereka berbuat demikian kerana sensitif dengan kes tersebut, dan kenyataan serta rakaman yang dibuat akan disimpan dan digunakan apabila kes dibawa ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata kehadiran Rosmah pada lawatan hari ini disebabkan Permata merupakan pemangkin dalam mewujudkan kesedaran mengenai jenayah seksual kanak-kanak.

Persidangan Parlimen pada April lepas meluluskan undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak berikutan seminar mengenai jenayah seksual kanak-kanak yang dianjurkan Permata pada Mac lepas,

Selain itu, Permata yang turut terlibat dalam pendidikan di Taman Asuhan dan Taman Didikan Kanak-kanak adalah platform yang terbaik untuk menjalankan tanggungjawab menanamkan kesedaran dan kefahaman mengenai perkara ini kepada kanak-kanak, katanya.

Sementara itu, Sharifah Zarah berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang menyediakan pelan komunikasi bagi mewujudkan kefahaman di kalangan masyarakat mengenai jenayah seksual kanak-kanak.

Beliau berkata pihaknya sedang menyediakan pelbagai bentuk media untuk diedarkan kepada masyarakat bagi tujuan tersebut. -Bernama

Lihat Komen
ADS