Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Harga minyak turun buktikan tiada manipulasi'
Diterbitkan:  May 11, 2017 12:42 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Pemimpin pembangkang didesak memohon maaf kepada kerajaan susulan penurunan harga minyak untuk minggu ketiga berturut-turut, sejak pengumuman mingguan diperkenal pada 30 Mac lalu.

Pegawai di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata penurunan berterusan itu membuktikan mekanisme apungan terkawal yang diperkenalkan kerajaan adalah telus.

"Saya rasa sudah sampai masanya pembangkang memohon maaf kepada kerajaan atas tuduhan melulu mereka, bukan terus menimbulkan keraguan awam terhadap usaha kerajaan BN yang murni," kata Rizal.

Beliau yang juga pegawai khas isteri perdana menteri Rosmah Mansor turut mengingatkan bahawa harga baru itu kini mencapai paras terendah sejak sistem baru itu diperkenal.

Berkuat kuasa tengah malam semalam, harga runcit RON95 dan RON 97 turun 10sen kepada, masing-masing, pada paras RM2.01 dan RM2.29 seliter.

Harga runcit diesel pula berada pada paras RM1.95 seliter berikutan penurunan sebanyak 13 sen.

Sebelum ini, harga minyak telah naik untuk empat minggu berturut-turut, yang mengundang kritikan awam, terutamanya di ruang maya.

Menulis di Facebook, Rizal berkata perkembangan itu juga sekali gus membuktikan dakwaan pembangkang mengenai manipulasi harga untuk mengutip 'cukai senyap' tersasar sama sekali.

Harga terkini bahan api tersebut kini berada pada tahap terendah sejak pengenalan sistem harga bahan api mingguan pada 30 Mac yang lalu.

Harga runcit bahan api ditentukan berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOP) dan purata kekuatan mata wang minggu sebelumnya.

Harga minyak global telah mengalami aliran menurun semenjak beberapa minggu kebelakangan ini ekoran aktiviti industri minyak Amerika Syarikat.

 
Lihat Komen
ADS