Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MAHB lulus elaun pengangkutan kepada 5,000 pekerja
Diterbitkan:  May 11, 2017 7:01 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) meluluskan elaun pengangkutan sebanyak RM110 sebulan kepada 5,000 pekerja bukan eksekutifnya di seluruh negara.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata keputusan itu dibuat selepas beberapa rundingan antara pihaknya dengan ketiga-ketiga kesatuan pekerja syarikat itu, bagi menjaga kebajikan pekerja.

Tiga kesatuan pekerja yang terlibat ialah Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Berhad Semenanjung Malaysia (KESMA), Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Berhad Sarawak (KEPEMAB) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Berhad Sabah dan Labuan (KEPMAS).

Beliau berkata pemberian elaun pengangkutan melibatkan staf daripada kesemua 39 lapangan terbang di bawah kendalian syarikat itu, akan berkuat kuasa secara retrospektif mulai 1 Jan lalu hingga 31 Dis 2019.

"Hari ini kami telah menandatangani Perjanjian Bersama ke-8 (CA8) dengan ketiga-tiga kesatuan pekerja syarikat. Selain elaun pengangkutan, penambahbaikan lain yang diluluskan ialah penstrukturan gaji baharu yang memberi fokus kepada kenaikan gaji maksimum kepada semua gred jawatan bukan eksekutif.

"Peratusan kenaikan tangga gaji maksimum adalah antara 17 hingga 20 peratus. Adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk memastikan kemudahan dan keperluan warga kerja sentiasa dititikberatkan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan finalis Kejohanan Ragbi Super Six, Victoria Institution di Pejabat Korporat MAHB di Sepang hari ini.

Sementara itu, apabila diminta mengulas laporan Bloomberg menyatakan MAHB bakal menjual saham LapanganTerbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) di Turki, beliau tidak menolak perkara itu, tetapi berkata berita sedemikian suatu yang biasa dalam perniagaan.

"Ini semua perkara biasa dalam perniagaan, MAHB dah pegang saham 100% di ISGIA... Sekarang kita konsentrasi untuk bangunkan lapangan terbang dengan meningkatkan kapasiti penumpang daripada 33 juta kepada 41 juta menjelang tahun hadapan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS