Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jelaskan kos, butiran Rosmah ke London - DAP
Diterbitkan:  May 11, 2017 7:36 PM
Dikemaskini: May 12, 2017 9:33 AM

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku dari DAP, Lau Weng San memohon pejabat perdana menteri untuk menjelaskan kos dan butiran perjalanan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke London pada minggu lepas.

"Khususnya antara 4 hingga 7 Mei kerana dua menteri kabinet yang sepatutnya mengiringi Rosmah dalam lawatan ke London tidak bersama dengan beliau dalam tempoh empat hari ini.

"Selain itu, tujuan saya menimbulkan soalan ini adalah kerana media Malaysia dan United Kingdom nampaknya kurang melaporkan aktiviti-aktiviti beliau selama seminggu di London.

"Maka, ada keperluan untuk pihak perdana menteri memberi penjelasan yang lebih lanjut terhadap kos perjalanan tersebut," kata Lau dalam kenyataannya.

Rosmah yang merupakan penaung program PERMATA mengadakan lawatan ke London mulai 4 hingga 10 Mei 2017 bagi memperluaskan program berkenaan dengan diiringi oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, antara aktiviti Rosmah di London ialah menyampaikan ucapan serta merasmikan Majlis Nobel Minda atau Nobelist Mindset.

Selain itu, Rosmah juga menyaksikan majlis menandatangani dua Surat Hasrat (LOI) iaitu antara PERMATA Pintar dan Cambridge University, dan PERMATA Insan dengan Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford.

Mengulas lanjut, Lau berkata, carian di internet hanya melaporkan kenyataan Kementerian Luar Negara yang dikeluarkan sehari sebelum Rosmah bertolak ke London.

"Carian di laman web The Royal Society of London serta carian di beberapa akhbar dan media UK tidak memberi apa-apa hasil carian," jelasnya.

Kalau setakat itu sahaja yang boleh dilaporkan media dalam dan luar negara sepanjang lawatan seminggu itu, tambah Lau, ia sangat sedikit.

"Seharusnya isteri perdana menteri perlu menghadiri sekurang-kurangnya satu program rasmi setiap hari dan semestinya perlu ada laporan atau liputan media hampir setiap hari daripada London berkenaan dengan lawaran tersebut," ujarnya lagi.

Sementara itu, menjawab persoalan Lau, pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor hari ini secara sinis berkata, selaku ADUN, Lau sepatutnya bertanggungjawab berhubung hal ehwal negeri dan bukan berkaitan Pusat.

"Anda seorang ADUN dan tanggungjawab anda adalah berkenaan hal ehwal negeri. Soalan-soalan yang anda tanya itu adalah berkaitan dengan Pusat dan boleh ditanya oleh anggota parlimen di Dewan Rakyat.

"Belajarlah mengenali tugas masing-masing, bukannya main sondol," kata Rizal kepada Malaysiakini.

Justeru, Rizal kemudian melantorkan kembali pertanyaan kepada Lau berhubung lawatan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali ke luar negara seperti Taiwan dan Timur Tengah.

"Bagaiman pula lawatan (menteri besar) MB Selangor ke Taiwan dan Timur Tengah? Adakah mendapat liputan media antarabangsa?" soal Rizal.

Lihat Komen
ADS