Bayi rentung, ibu bapa melecur dalam kebakaran
Seorang bayi rentung manakala ibu bapanya cedera melecur dalam kebakaran satu blok rumah pekerja di Ladang Tangkarason Maridian Plantation Sdn Bhd di Beluran, kira-kira 215 kilometer dari Sandakan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, kebakaran itu berlaku pada kira-kira 8 malam kelmarin tetapi pihak bomba hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira 8.45 pagi semalam.
Mayat bayi perempuan berusia sebelas bulan itu dikenali sebagai Ainur Jiman hanya dikeluarkan dari kawasan kebakaran oleh pihak polis pada kira-kira 2 petang dan dihantar ke Hospital Pitas untuk bedah siasat, katanya dalam kenyataan malam tadi.
"Disebabkan lokasi yang jauh iaitu kira-kira 215 kilometer, anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa tujuh jam untuk sampai di tempat kejadian menggunakan kenderaan pacuan empat roda ," katanya.
Beliau berkata bapa kanak-kanak itu, Jiman Alimudin, 25, dan ibunya Aditri Rahman, 24, yang melecur di beberapa anggota badan kini dirawat di hospital sama.
- Bernama

