Nyalaan lilin untuk Maria: Polis siasat kakitangan BERSIH
Enam bulan selepas upacara nyalaan lilin bagi menuntut pembebasan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, polis kini menyiasat tiga kakitangan NGO pemantau pilihan raya itu atas dakwaan gagal mengemukakan notis 10 hari sebelum mengadakan bantahan.
Pengurus sekretariat BERSIH Mandeep Singh, pegawai advokasi Zoe Randhawa dan seorang lagi pegawai Chan Tsu Chong diarahkan supaya hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 15 Mei ini untuk merakamkan kenyataan mereka.
Ketiga-tiga mereka disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman, berhubung upacara nyalaan lilin yang diadakan di Dataran Merdeka pada 21 November tahun lalu sebagai solidariti dengan Maria yang ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.
Ketika dihubungi, Mandeep berkata, polis tidak mempunyai asas untuk menyiasat mereka.
"Ini satu lagi bentuk gangguan terhadap kami. Saya tidak melihat sebarang asas untuk siasatan kerana Maria telah keluar (dari penjara). Kenapa selepas enam bulan, polis tiba-tiba mahu menyiasat tiga kakitangan BERSIH?" soalnya.
Daripada berterusan mengarahkan pemimpin BERSIH dan kakitangannya "berulang-alik” ke Bukit Aman, Mandeep mencadangkan pihak polis supaya mengadakan sesi dua hari penuh untuk merekodkan kenyataan berhubung sebarang kes yang masih belum selesai.
"Ini akan memudahkan kedua-dua pihak."

