Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TNB ambil alih portfolio tenaga solar utama di Britain
Diterbitkan:  May 12, 2017 2:36 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB International Sdn Bhd (TNBI), telah menyelesaikan pengambilalihan 50 peratus kepentingan dalam salah satu portfolio operasi aset tenaga solar terbesar di Britain dengan kapasiti gabungan pemasangan bersih 365 MW.

Pengambilalihan itu, dengan nilai perusahaan sebanyak £470 juta (£1=RM5.59) mencapai matlamat utama pelan pengembangan antarabangsa TNB untuk lima tahun bagi memperoleh sehingga 250 MW kapasiti projek tenaga boleh baharu menjelang 2020.

Pengambilalihan itu melalui Vortex Solar UK Ltd (Vortex Solar UK), anak syarikat tidak langsung usaha sama TNB, Vortex Solar Investments S.a.r.l. (Vortex), yang mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam portfolio itu.

TNB mempunyai 50 peratus pegangan saham dalam Vortex dengan Beaufort Investments S.a.r.l. memegang baki 50 peratus.

Vortex Solar UK menandatangani Perjanjian Jual Beli pada Januari dengan anak syarikat Terraform Power Inc. untuk mengambil alih portfolio solar itu yang termasuk 24 ladang fotovoltaik solar, perniagaan tenaga solar ketiga terbesar di Britain.

TNB membiayai pengambilalihan itu melalui hasil sukuk sebanyak US$750 juta (US$1=RM4.34) yang dikeluarkan oleh syarikat pada Oktober tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Ir. Azman Mohd berkata: "Kami gembira dapat menyelesaikan pengambilalihan ini yang merupakan peluang keemasan untuk mengambil alih perniagaan tenaga solar yang besar di Britain. Ia membantu kami menyediakan tenaga boleh baharu (RE) sebahagian daripada pelan pengembangan antarabangsa TNB yang lebih setahun awal daripada jadual.

"Aset tersebut adalah pelaburan terbaik yang merupakan pendapatan segera dipertingkatkan dengan 80 peratus daripada perolehan di bawah jangka masa panjang, perjanjian pembelian tenaga selama 15 tahun dan disubsidi oleh Sijil Obligasi Boleh Baharu untuk tempoh 20 tahun akan datang."

Dengan selesainya pengambilalihan itu, portfolio tenaga boleh baharu antarabangsa TNB akan mempunyai kapasiti gabungan pemasangan bersih sebanyak 252 MW susulan pengambilalihan dalam syarikat tenaga di India dan Turki pada 2016.

- Bernama

Lihat Komen
ADS