Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar sendiri minta hadir sambutan Umno, kata Ku Nan

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, parti itu tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menyertai sambutan ulang tahun Umno ke-71.

Menyifatkan isu itu sengaja 'diputar belit', Tengku Adnan berkata pelajar berkenaan sendiri meminta untuk hadir ke acara itu semalam.

"Banyak diputarbelit, memang ada pelajar hadir. Mereka minta untuk hadir jadi kita jemput jelah. Ada daripada mereka dari UniKL, UiTM, ada juga ada universiti lain yang datang.

"Jadi kita biarkan (mereka nak datang). Mereka datang sebagai NGO.

"Janganlah tuduh kita paksa mereka (pelajar). Kita tidak pernah paksa sesiapa," katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa acara semalam bukanlah himpunan parti politik, sebaliknya sambutan ulang tahun ke-71 sebuah parti politik.

"Ia bukan himpunan politik. Ia adalah sambutan ke-71 parti kita. Bukan himpunan politik," kata anggota parlimen Putrajaya itu lagi.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan, UiTM nafi memperalatkan mahasiswanya untuk turun ke Stadium Bukit Jalil, semalam.

Ia ekoran dakwaan Pemuda PKR dan DAP yang mendakwa Umno menggerakkan mahasiswa UiTM untuk hadir ulang tahun Umno ke-71.

Mereka menyebarkan rakaman skrin di kumpulan WhatsApp berkaitan mahasiswa UiTM bagi membuktikan dakwaan itu dan menuduh Umno 'menipu' pelajar.

Lihat Komen
ADS