ADUN Pujut: SPR tunggu makluman rasmi speaker
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menunggu pemakluman rasmi oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung status Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon yang dilucutkan keanggotaannya hari ini.
Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata ketika ini pihaknya hanya mengetahui laporan mengenai pelucutan keanggotaan wakil rakyat DAP itu yang didakwa memiliki dua kewarganegaraan daripada media massa.
Sehubungan itu, SPR hanya akan mengambil tindakan lanjut berhubung perkara itu selepas menerima pemakluman secara rasmi, katanya dalam kenyataan hari ini.
DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut pada persidangan DUN hari ini selepas Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh membentangkan usul untuk melucutkan kelayakan Dr Ting.
- Bernama

