Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Parti penyebab pertandingan tiga penjuru sebenarnya pengkhianat’

ULASAN l Pilihan raya umum ke-14 adalah yang terpenting dalam sejarah negara.

Tumpuan ialah kepada menjatuhkan rejim Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Seluruh rakyat sedar bahawa rejim pimpinannya telah merosakkan negara. Kerosakan ini berlaku dalam semua bidang.

Politik

Dalam politik negara Najib telah hancurkan demokrasi sehingga Malaysia dikenali sebagai kleptokrasi; iaitu kerajaan dipimpin oleh penjenayah yang melesapkan kewangan negara; kerajaan yang tidak berpandu kepada undang-undang; kerajaan yang menekan rakyat secara zalim; yang membelakangkan keadilan; yang tidak hormati perpisahan antara legislatif (pembentuk undang-undang) dengan eksekutif (pelaksana dasar dan undang-undang) dan judisiari (kehakiman).

Ketiga-tiga ini dikuasai oleh Najib sebagai ketua kerajaan dari pihak pembuat undang-undang.
Dasar berkecuali sudah dihapuskan oleh Najib, diganti dengan ikatan ketenteraan dengan negara China.

Ekonomi

Ekonomi Malaysia rosak teruk kerana rasuah, peningkatan perbelanjaan pentadbiran dan penambahan kakitangan kerajaan yang tinggi; belanjawan yang tidak bijak yang menumpu kepada mendapat sokongan popular kepada perdana menteri khususnya, pinjaman terlalu besar dan dasar yang menekan swasta.

Hari ini beban hutang tidak dapat dibayar oleh kerajaan.

Sosial

Kos sara hidup rakyat meningkat kerana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kejatuhan nilai ringgit yang teruk. Pengangguran meningkat termasuk di kalangan lulusan universiti.

Pelaburan asing terhad kepada pembelian tanah untuk dibangun bandaraya oleh kontraktor luar dengan mengguna bahan dan pekerja dari negara kontraktor.

Kos pelajaran dan rawatan meningkat tinggi dan tidak dapat ditanggung oleh kebanyakan rakyat.

Semua bidang-bidang politik, ekonomi dan sosial yang telah jadi buruk kerana dasar dan pengurusan Najib akan menjadi lebih buruk lagi jika Najib terus berkuasa.

Hanya jika kerajaan pimpinan Najib diganti dengan kerajaan baru sahaja barulah boleh keadaan politik, ekonomi dan sosial dipulih semula.

Bolehkah kita yakin kerajaan yang mengganti dapat mentadbir dengan lebih baik dari Najib? Sesungguhnya tidak ada kerajaan yang begitu buruk dan berjenayah besar seperti kerajaan Najib.

Kerajaan yang bercadang mengganti Najib ialah kerajaan parti-parti campuran pembangkang yang akan dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang mahir dalam politik dan dibantu dengan mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran negara.

Mereka tidak ada rekod jenayah atau menyalahguna kuasa. Mereka terpelajar dan pernah menjadi anggota kerajaan.

Soalnya apakah mungkin gabungan parti-parti lawan menang dalam PRU14. Besar kemungkinan mereka menang jika pertandingan hanyalah antara mereka dengan BN.

Tetapi ada parti-parti yang kononnya akan letak calon untuk melawan Najib dan BN. Dengan ini akan berlakulah pertandingan tiga atau empat penjuru.

Kesannya ialah pengundi yang berhasrat mengalahkan Najib akan berpecah dua atau tiga.

Penyokong Najib, kerana sebab-sebab tertentu akan bersatu mengundi BN. Najib akan menang kerana berpecahnya undi pembangkang.

Dengan perkataan lain parti-parti yang memecahkan pengundi penentang sehingga pertandingan menjadi tiga atau empat penjuru, sebenarnya menyokong BN dan Najib.

Perbuatan ini menjadi satu jenis pengkhianatan kepada usaha menjatuhkan Najib dan menghentikan kerosakan kepada negara.

Najib akan teruskan cara pentadbiran yang umum tahu akan memufliskan negara dan meletaknya di bawah kuasa asing.


DR MAHATHIR MOHAMAD Pengerusi BERSATU dan bekas perdana menteri Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS