Polis serbu 8 lokasi skim JJPTR, tahan 19 orang
Polis menahan 19 individu yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan kontroversi JJPTR dalam serbuan di beberapa lokasi di Pulau Pinang semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu menerusi laman Twitter rasminya.
Beliau berkata serbuan disertai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama beberapa agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Syabas JSJK @PDRMsia, BNM, LHDN, NRRET, SSM serbu 8 lokasi skim JJPTR di Pulau Pinang dan tahan 19 pekerja dan pelabur dan rampas dokumen, " kata Khalid.
NRRET ialah singkatan bagi "National Revenue Recovery Enforcement Team".
Skim JJPTR mendapat perhatian umum selepas pengasasnya Johnson Lee mendakwa ia kerugian AS$400 juta kerana menjadi mangsa penggodam.
Sementara itu, dalam satu kenyataan malam tadi, Pengarah JSJK Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata sindiket itu dipercayai setakat ini mengutip wang pelaburan mencecah RM1.7 bilion.
Beliau berkata langkah membekukan beberapa akaun JJPTR sedang diambil.
"Dua laporan polis sehingga kini diterima berkenaan pelaburan JJPTR," kata Acryl Sani.
Menurutnya, mereka yang ditahan ialah 15 pekerja JJPTR dan empat pelabur, berusia antara 23 dan 40 tahun.
Antara barang yang dirampas dalam serbuan itu ialah tujuh unit komputer dan komputer riba, mesin pengira wang, CCTV dan wang tunai berjumlah RM3,300.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
- Bernama

