Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN Michelle Obama, isteri kepada mantan Presiden Barrack Obama merupakan antara wanita pertama yang paling popular dan digemari, bukan sahaja di Amerika tetapi hampir di seluruh dunia.

Seperti di negara-negara lain, isteri kepada Presiden Amerika tidaklah mempunyai sebarang kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara. Namun hal ini tidak menyekat Michelle Obama untuk terus bersuara dan berjuang dalam isu-isu yang dekat di hati beliau.

Antara isu yang selalu diperjuangkan dan disuarakan adalah soal keadilan antara kaum dalam mendapat peluang pendidikan, kesihatan dan ekonomi. Fokus utamanya bermula dengan memastikan bahawa anak-anak Amerika dari seawal usia mampu untuk mendapatkan pendidikan dan kesihatan yang sempurna. Baginya, jangan ada sebarang diskriminasi kaum, agama ataupun darjat dalam soal pendidikan dan kebajikan kanak-kanak.

Dalam hampir setiap ucapannya sama ada di pentas dunia atau negara, inilah yang acapkali ditekankan oleh Michelle. Dengan kesungguhan, komitmen dan kelantangan beliau, Michelle telah berjaya meraih kecintaan dan kasih sayang rakyat Amerika.

Jika diikutkan, boleh sahaja Michelle duduk diam di Rumah Putih dan sekadar menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai “Host of the White House”. Tetapi beliau tahu dengan kedudukannya sebagai isteri kepada seorang presiden, beliau mampu untuk melakukan lebih dari itu demi membawa perubahan besar kepada masa depan rakyatnya. Walaupun tidak lagi memegang gelaran Wanita Pertama, dalam beberapa ucapannya baru-baru ini Michelle kelihatan terus konsisten dalam perjuangannya.

Begitu juga di Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor tidak cuma duduk diam di Seri Perdana. Beliau cukup aktif menyumbang dalam perkara yang hampir sama diperjuangkan oleh Michelle Obama.

Seawal Datuk Seri Najib Razak masih timbalan perdana menteri, Rosmah telah mula memikir dan merancang pelaksanaan idea-idea segar untuk dicurahkan kepada rakyat demi membangun masa depan Malaysia yang lebih baik.

Program PERMATA yang diilhamkan oleh Rosmah telah membuka satu lembaran baru dalam usaha memartabatkan pendidikan dan perkembangan kanak-kanak. Tetapi malangnya, kerana pemikiran yang sempit dan sifat tamak populariti sesetengah ahli politik di Malaysia, PERMATA sering ditohmah dengan pelbagai tuduhan.

Selalu juga Rosmah ditanya perihal serangan, tohmahan dan tuduhan liar ini, namun jawapan yang diberikan cukup mudah - jika kita melayan atau berasa lemah semangat dengan soal-soal remeh sebegini, kita tidak akan mungkin dapat mencapai agenda yang lebih besar.

Satu keluarga

“Wo Men Dou Shi Yi Jia Ren”, ini adalah ungkapan bahasa Mandarin yang selalu disebut oleh ahli politik pembangkang. Ungkapan tersebut membawa maksud ‘kita semua adalah satu keluarga’ tetapi adalah amat mudah untuk diucap jika niatnya hanya sekadar untuk mendapatkan tepukan gemuruh dan undi, tetapi pada hakikatnya ungkapan ini perlu dituruti dengan perbuatan.

Walaupun Rosmah tidak sering melontarkan ungkapan-ungkapan manis seperti politikus pembangkang, namun usahanya telah membuktikan bahawa beliau lebih memahami dan mendalami erti kata ‘kita adalah sebuah keluarga’.

Apa yang diusahakan, sama ada melalui program-program PERMATA atau kebajikan yang lainnya tidak hanya tertumpu untuk satu kaum sahaja. Anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Orang Asli, anak Peribumi di Sabah dan Sarawak semuanya mendapat manfaat dari usaha-usaha ini.

Jika kita tolak sebentar persepsi negatif terhadap Rosmah dan mula untuk membaca serta mengkaji hasil-hasil tuaian beliau melalui usaha-usaha ini, saya pasti anda akan terpegun.

Kita akan dapati pelbagai kisah dan cerita yang cukup menakjubkan. Kisah kejayaan anak-anak Malaysia dalam usia yang sangat muda sedang menuntut di universiti terkemuka dunia seperti Oxford dan Cambridge, hasil daripada didikan di PERMATA Pintar. Kisah ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah, mampu memberikan pendidikan awal kepada anak ciliknya yang berusia bawah 4 tahun di Pusat Permata Anak Negara. Kisah anak-anak autisme yang sedang menjalani terapi dan menunjukkan perubahan yang ketara di Pusat Permata Kurnia.

Kisah anak-anak Permata Insan yang sedang mengkaji dan mentelaah kitab-kitab agama, dalam masa yang sama mengkaji ilmu sains dan matematik.

Kisah anak-anak Permata Seni yang menempa nama di pentas-pentas persembahan seantero dunia. Kisah anak-anak Perkasa Remaja yang diberikan nafas dan semangat baru untuk meneruskan perjuangan dan menempa kejayaan hidup. Pada masa akan datang pula, bakal wujud sebuah hospital khas kanak-kanak dan saya pasti banyak kisah-kisah gembira yang bakal datang daripada Hospital PERMATA ini.

Kisah-kisah di atas diwarnai dengan anak-anak dari pelbagai kaum dan latar belakang. Rosmah tahu bahawa Tuhan, tidak melihat warna kulit dan pangkat dunia dalam mengurniakan keistimewaan kepada anak-anak. Begitu juga jika Dia mahu menduga hambanNya dengan ujian memiliki anak yang mempunyai masalah. Sebab itu perjuangan Rosmah untuk membangun dan membela kanak-kanak ini tidak dibatasi dengan perbezaan ras, etnik, bangsa, agama ataupun darjat.

Ubah pemikiran

Ada yang berpandangan bahawa Rosmah perlu duduk diam di rumah sahaja. Tidak perlu berbuat apa-apa dan kekal ‘low profile’ seperti isteri 2-3 orang bekas pemimpin dalam negara. Jika kita hanya memandang dari sudut politik, maka sudah tentu memilih untuk duduk di rumah adalah lebih baik.

Tetapi mengapa perlu dibazirkan kelebihan sebagai isteri perdana menteri dengan cara begitu sedangkan Rosmah boleh memanfaatkan kedudukannya untuk membawa satu perubahan besar kepada masa depan negara. Dan apa yang sedang dilakukannya sekarang benar-benar akan memberikan impak yang besar pada masa akan datang.

Kita sering berbicara soal menjadi rakyat sebuah negara maju, namun ramai daripada kita yang masih berfikiran kolot dan mudah terpedaya dengan dakyah-dakyah merepek dan menyimpang. Kita lebih cenderung mendengar dan mempercayai gosip yang dilontarkan kepada Rosmah dan bukannya menilai dan melihat hasil usaha beliau.

Ya, tidak terlampau jika saya katakan secara adilnya kita perlu menilai Rosmah sepertimana orang Amerika menilai Michelle Obama. ‘Actions Speak Louder Than Words’, kita perlu nilai seseorang itu daripada hasil kerjanya bukan sekadar kebolehan bercakap dan menabur janji-janji manis.

Saya percaya bahawa orang yang menyayangi kanak-kanak itu hatinya tidak mungkin hitam. Kegigihan dan komitmennya terhadap kejayaan anak-anak PERMATA sehingga sanggup menahan segala penat lelah, cacian dan tohmahan membuktikan kasih dan cintanya terhadap kanak-kanak. Atas rasa kasih dan cinta seperti inilah, sebuah keluarga besar dalam Malaysia dibangunkan.


MUHAMMAD RAHIMI OSMAN Presiden Pertubuhan Gerakan Transformasi Nasional.

Lihat Komen
ADS