Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KSN perlu jelaskan peranan anak Najib ke China
Diterbitkan:  May 15, 2017 11:49 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Lebih banyak persoalan ditimbulkan berhubung penyertaan anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Norashman dan abang tirinya, Riza Aziz dalam lawatan rasmi ke China.

Bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa perlu memberi pencerahan mengapa kedua-dua anaknya itu hadir pada sebuah majlis yang dihadiri oleh Najib di Hangzhou, China.

“Boleh KSN beri pencerahan kepada 30 juta rakyat Malaysia apa jawatan dua budak ini dalam kerajaan?

“Adakah mereka berdua memegang sebarang jawatan kerajaan masa kini kerana posisi kedudukan di dalam majlis tersebut seolah-olah mereka juga berjawatan tinggi dalam kerajaan?” soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Najib berada di Hangzhou sejak Jumaat lalu mengadakan lawatan ringkas untuk meninjau operasi Alibaba Group, gergasi e-dagang China di bandar itu dan disambut oleh pengasasnya Jack Ma.

Walaupun laporan berita menyebut bahawa Najib diiringi oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Khairuddin merujuk kepada gambar yang menunjukkan kedua-dua Norashman dan Riza duduk di barisan kedua, di belakang Perdana Menteri dan Ma.

Norashman sendiri telah menyiarkan lawatan ke pejabat Alibaba itu dalam akaun Instagram peribadinya.

Khairuddin, yang kini adalah kordinat Deklarasi Rakyat juga mempersoalkan sama ada kos perjalanan untuk anak-anak Najib turut ditanggung oleh negara.

“Kalau kos perbelanjaan Riza dan Norashman ditanggung oleh pihak kerajaan; ini sudah bercanggah dengan undang-undang dan berlaku unsur-unsur 'conflict of interest' seterusnya salahguna kuasa.

“Perbuatan perdana menteri ini amat tidak beretika! Ahli keluarga sendiri diheret ke hulu dan hilir dalam urusan rasmi kerajaan.

“Anak-anak perdana menteri tidak seharusnya berada dalam mesyuarat atau taklimat di antara kerajaan dengan kerajaan kerana mereka bukan pegawai kerajaan,” kata Khairuddin sambil mendesak Ali untuk menjelaskan majlis apa yang dihadiri oleh Najib di Hangzhou.

Ma dilantik sebagai penasihat ekonomi digital bagi kerajaan Malaysia pada 4 Nov tahun lalu.

Ketika itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli juga mempersoalkan mengapa kedua-dua Norashman dan Riza berada dalam jet rasmi kerajaan untuk ke China.

Lihat Komen
ADS