Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub kesal dengan sikap Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin yang didakwanya selama ini mendiam diri serta membisu dengan permasalahan semasa penduduk Kampung Bakar Batu, Johor Baru.

Dalam satu kenyataan, Salahuddin berkata penduduk semalam berkumpul di luar pejabat Khaled untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap perintah pengusiran dari rumah mereka, yang dilaporkan dibina di atas tanah kerajaan.

Salahuddin berkata kumpulan itu, yang juga disertai oleh ADUN Pengkalan Rinting Cheo Yee How, bagaimanapun dihalang daripada berkumpul di bangunan Dewan Undangan Negeri.

“Saya berasa dukacita dengan tindakan pemimpin yang mengerahkan beberapa unit anggota keselamatan untuk tujuan menghalang perhimpunan menuntut hak ini daripada diadakan.

“Dewan Undangan Negeri adalah milik rakyat dan semestinya suara-suara rakyat seperti penduduk Kampung Bakar Batu ini harus didengari bukannya dihalang,” katanya.

Portal berita AMANAH, Malaysia Dateline semalam memetik wakil penduduk Bakar Batu, Norman Abdul Hamid (foto, bawah, kanan) meluahkan rasa kecewa setelah hajat mereka dihalang oleh pihak keselamatan serta pihak berkuasa.

Malah, katanya, wakil menteri besar menuduh penduduk kampung tidak mengikut saluran yang betul apabila memohon pemimpin dan wakil rakyat AMANAH dan DAP untuk bersama semasa menyerahkan memorandum berkenaan.

Mengulas apa yang terjadi itu, Salahuddin menyanggah kenyataan oleh wakil menteri besar Johor itu yang kononnya penduduk tidak mengikut saluran betul sedangkan penduduk, katanya, sejak tahun 2009 telah berbuat apa yang sepatutnya mereka buat.

“Sanggahan saya turut dibuat berikutan siri permohonan penduduk kampung yang selama ini telah menggunakan pelbagai ruang yang ada bagi menyatakan permasalahan yang berlaku.

“Namun, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin selama ini diam serta membisu dalam permasalahan yang berlaku di kampung tersebut,” katanya.

Menurut Salahuddin, kenyataan yang dibuat oleh wakil menteri besar itu adalah tidak berasas sama sekali dan Khaled sewajarnya turun ke kampung tersebut bagi menyelami nasib penduduk yang selama ini mengemis untuk mendapatkan hak mereka.

“Menteri Besar tidak perlu takut dan malu untuk berhadapan dengan penduduk-penduduk kampung sekiranya beliau berada dalam situasi yang benar.

“Saya dengan ini juga ingin mengajak Menteri Besar agar marilah kita bersama-sama berusaha untuk menyelamatkan kampung ini dan dengarlah rintihan penduduk kampung tersebut,” katanya.

Akhbar Sinar Harian pada 10 Mei lalu melaporkan bahawa kira-kira 43 keluarga di Kampung Bakar Batu Perling kini boleh menarik nafas lega buat sementara daripada diarah keluar dari perkampungan tersebut.

Ini sementara menunggu keputusan mengenai kes itu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Baru.

Mereka adalah baki daripada lebih 70 keluarga yang telah menetap di kawasan itu sejak tahun 1950-an dan menolak tawaran pampasan daripada pemaju projek.