Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sekali lagi mengulangi bahawa parti Islam itu tidak akan bersama BN.

Bagi membuktikan PAS bukan sebahagian BN, Tuan Ibrahim berkata parti itu akan menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita lawan BN dan tak bersama BN. Kenyataan telah pun dibuat sebelum ini oleh presiden, Majlis Syura Ulama yang kita tak akan sertai BN.

"Malah, hampir 90 peratus kerusi PAS nak bertanding (pada pilihan raya umum akan datang) akan lawan BN," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir sebelum ini mendakwa, PAS kini telah menjadi sebahagian parti komponen BN tetapi belum berdaftar secara rasmi.

Ia ekoran dakwaan yang mengatakan PAS kini dilihat 'mesra' dengan Umno.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, tindakan negarawan tersebut mengeluarkan kenyataan sedemikian mungkin disebabkan kecewa.

"Bagi saya dia (Mahathir) rasa kecewa sebab PAS tak join Pakatan Harapan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan PAS yang kini dilihat cuba bekerjasama dengan parti-parti 'kecil' seperti Parti Ikatan Bangsar Malaysia (IKATAN) serta Parti Cinta Malaysia (PCM), Tuan Ibrahim berpendapat parti tersebut kini berada di landasan yang betul.

Jelasnya, apa yang penting ialah PAS memiliki kekuatan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Keyakinan rakyat dilihat pada kekuatan kita. PAS terasnya mempunyai petugas parti dan kekuatan jentera PAS memang terbaik.

"Kita yakin kita berada di landasan yang betul untuk beri harapan pada rakyat," kata Tuan Ibrahim lagi.

Lihat Komen
ADS