Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Islam menegaskan politik sebahagian daripada syariat yang tidak boleh dipisahkan daripada agama. Baiah adalah rukun yang mengikat antara pemimpin dan rakyat dengan hukum Allah supaya tidak dikhianati berasaskan petunjuk Islam yang membahagikan kepada dua bahagian iaitu; thawabit dan mutaghayyirat.

Pertama, thawabit adalah perkara dasar dan matlamat yang tidak boleh dipinda sepanjang hayat dan ditetapkan oleh nas al-Quran, Hadis, ijmak ulama dan qias yang nyata. Perkara ini ditetapkan menjadi hukum tertinggi dalam undang-undang tubuh pas (perlembagaan) yang diserahkan bawah bidang kuasa Majlis Syura Ulama.

Setiap tugas penting yang mencabar dilakukan baiah, yang bermaksud janji kesetiaan terhadap perjuangan yang diasaskan atas perkara tersebut supaya tidak diperlakukan dengan mudah dan sewenang-wenangnya.

Firman Allah menegaskan perkara baiah:

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi baiah (pengakuan kesetiaan kepadamu wahai Muhammad) untuk berjuang, mereka hanyasanya memberikan baiah (pengakuan kesetiaan kepada Allah); Allah mengawasi keadaan mereka memberikan kesetiaan itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakannya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.” [Surah al-Fath: 10]

Rasulullah SAW melakukan baiah apabila melantik jawatan yang penting atau menghadapi sesuatu cabaran besar. Amalan ini dilakukan di sepanjang zaman oleh kumpulan Islam yang memerintah negara atau tidak memerintah. Maka setiap khalifah yang dilantik selepas kewafatan Rasulullah SAW mengadakan baiah di hadapan rakyat dan pemimpin utama yang menjadi komponen kepada jemaah.

Betapa pentingnya baiah ini sehingga Khalifah Uthman bin Affan RA yang dipaksa oleh pemberontak, dengan menghunus senjata memaksanya supaya meletakkan jawatan, dengan tegas Khalifah Uthman menjawab:

“Jawatan ini adalah pakaian yang dipakaikan oleh Allah kepada saya, maka saya tidak akan mencabut pakaian ini.”

Maka berakhir dengan Khalifah Uthman RA bersedia gugur syahid bersama al-Quran yang dirangkulnya.

PAS mengadakan baiah yang diwajibkan kepada setiap calon yang bertanding dalam pilihan raya. Setelah mereka menang terus diikat dengan baiah. Inilah jawatan exco yang dipegang oleh ADUN negeri Selangor yang tidak boleh diberhentikan dengan sewenang-wenangnya, bukan dengan mencabut secara mudah.

Bagi PAS terdapat tiga komponen utama dalam menubuhkan kerajaan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan negeri iaitu; Islam adalah agama negara, institusi raja berperlembagaan wajib dihormati dan rakyat yang mengundi juga wajib diambil kira, bukan sahaja parti yang bertanding dan calon yang menang dipilih rakyat sama ada di atas nama dirinya atau parti.

Cita-cita politik ‘mi segera’

Jangan hanya bermain politik sesama dalaman parti tanpa memandang kepada segala komponen sistem pemerintahan yang menjadi rukunnya. Peristiwa Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat dan Langkah Kajang yang salah tidak boleh melompat parit kerana mahukan cita-cita politik ‘mi segera’ yang membebankan rakyat dan DYMM Sultan sepatutnya menjadi pengajaran.

Kedua, mutaghayyirat adalah perkara yang boleh diubah mengikut situasi, realiti dan strategi yang mengalami perubahan mengikut setiap perkembangan semasa dan masyarakat yang berbeza, dalam aspek pelaksanaan yang berkonsepkan kebijaksanaan bagi menyampaikan risalah Islam kepada manusia tanpa paksaan.

PAS mengadakan tahaluf siyasi atau persefahaman politik dengan pihak lain dalam perkara yang tidak melanggar sempadan dasar dan matlamatnya.

Tahaluf siyasi terbatal apabila ada pihak yang sengaja membatalkannya kerana tidak boleh menerima walaupun secara persefahaman disebabkan oleh sikap bermusuh terhadap PAS yang berpegang teguh dengan Islam. Inilah pendekatan DAP sendiri kerana menolak konsep Negara Islam, menolak syarat mewajibkan kepimpinan negara seorang yang beragama Islam, menentang segala usaha PAS untuk melaksanakan syariat Islam walaupun kepada penganut Islam sahaja dan membelakangkan Institusi Raja kerana mengikut selera politik mereka.

Keputusan Majlis Syura Ulama juga telah memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR terbatal, apabila syarat-syarat tahaluf dicabuli sama ada salah laku terhadap hukum syariat dalam pendekatan politik atau melanggar adab bertahaluf kerana mengikut kawan politik yang salah disebabkan konsep oportunis mereka.

PAS sangat berpegang kepada petunjuk Allah:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” [Surah at-Taubah: 24]


DATUK SERI ABDUL HADI AWANG presiden PAS.

Artikel ini pandangan penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS