Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kata dua pada Pandikar: Aktif politik atau letak jawatan

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan hari ini menggesa Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat sekiranya tidak dapat memberi tumpuan bagi melaksanakan reformasi Parlimen.

Malah, gesaan supaya Pandikar meletakkan jawatan juga dibuat ekoran kenyataannya sebelum ini yang dilihat mahu kembali aktif berpolitik.

"Walaupun lantikan speaker dewan lazimnya dicadang oleh pihak parti pemerintah, tetapi speaker perlu mengekalkan kebebasan beliau supaya tidak memihak kepada pemerintah atau pembangkang.

"Sekiranya Tan Sri Pandikar tidak boleh lagi memberikan fokus melaksanakan reformasi Parlimen dan beliau benar-benar ingin kembali aktif berpolitik, maka beliau harus segera meletakkan jawatan dan memberi ruang kepada orang lain untuk memegang jawatan speaker Dewan Rakyat," kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Harapan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Sementara itu, pada sidang media sama, Saifuddin memberitahu Pakatan Harapan telah menerima 330 penyertaan berkaitan logo parti gabungan itu.

Katanya, daripada jumlah tersebut, HARAPAN akan membuat senarai pendek sebanyak 10 logo bagi membolehkan orang ramai memberi maklum balas.

"Selepas itu, kami akan buat pemilihan tentang logo yang paling sesuai untuk digunakan sebagai logo rasmi Pakatan Harapan ," katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menghantar logo-logo berkenaan .

Sebelum ini, beberapa logo yang dicadangkan untuk gabungan Pakatan Harapan menerima kecaman daripada warga maya kerana dianggap dibuat sambil lewa.

Logo itu bertujuan untuk mendaftar gabungan itu dengan Pendaftar Pertubuhan, supaya semua parti-parti komponennya dapat bertanding di bawah satu logo pada pilihan raya umum akan datang.

 

Lihat Komen
ADS