Lim: ADUN tak hadir angkat sumpah YDP negeri akan dihukum
ADUN yang tidak hadir pada majlis angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada 29 April akan "dihukum".
Langkah itu sebulat suara dipersetujui oleh exco kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Lim berkata mereka yang terlibat akan diminta menjelaskan ketidakhadiran mereka dan memperincikan rancangan di kawasan masing-masing sebelum menerima geran peruntukan sebanyak RM50,000 bagi suku ketiga tahun ini.
Jumlah itu adalah sebahagian daripada geran tahunan bernilai RM200,000 daripada kerajaan negeri yang dikeluarkan terus kepada wakil rakyat dalam empat peringkat.
"Peruntukan itu tidak dibekukan, dan rakyat tidak terjejas. Tetapi mesti ada beberapa jenis sekatan terhadap wakil rakyat yang tidak hadir dalam majlis tersebut, dan kita tidak rasa bersalah dalam hal ini," kata Lim ketika ditanya mengenai perkara itu pada sidang media hari ini.
Enggan mendedahkan bilangan wakil rakyat yang tidak hadir pada majlis itu, Lim berkata ia termasuk wakil dari PKR, DAP dan Umno.
"Wakil rakyat mesti mempunyai rasa hormat kepada Yang Dipertua negeri, beliau memegang jawatan tertinggi di negeri ini selama tujuh penggal. Kamu tidak boleh pilih untuk tidak hadir, melainkan kalau kamu berada di luar negara," kata Lim.
"Kamu mesti mempunyai beberapa pertimbangan, keutamaan, kepentingan, tugas dan tanggungjawab dan menghormati Yang Dipertua Negeri.
"Adakah kamu cuba untuk mengatakan bahawa fungsi kamu adalah lebih penting daripada Yang Dipertua Negeri?" Soal Lim.
Lim menyatakan rasa kecewa dengan ADUN Penanti dari PKR, Norlela Ariffin yang menyuarakan rasa tidak puas hati di Facebook, dengan mendakwa peruntukan untuk kawasannya disekat oleh kerajaan negeri semata-mata kerana tidak hadir majlis angkat sumpah berkenaan, bulan lalu.
Norlela tidak menghadiri majlis itu kerana beliau berada di konvensyen PKR Pulau Pinang di Seberang Jaya.
Dengan menggunakan hashtag #RaiseFundForPenanti, Norlela menyatakan kebimbangan bahawa peruntukan berkenaan "dihalang atau ditarik balik" sehingga September, dan ini akan mengganggu persiapan sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

