Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nur Jazlan: Laporan tentang pelarian terlalu mengelirukan

Laporan berita mengenai layan buruk dan kematian pelarian di pusat-pusat tahanan imigresen di Malaysia adalah terlalu mengelirukan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Penghuni di pusat tahanan di Eropah dan Australia mengalami lebih sengsara. Namun, kita lakukan penambahbaikan berterusan (di pusat-pusat tahanan di Malaysia)," katanya kepada Malaysiakini.

Nur Jazlan berkata demikian ketika mengulas satu artikel dalam akhbar The Guardian, yang memetik bekas tahanan mengimbau penderaan yang didakwa dialami di pusat tahanan Malaysia.

Artikel itu juga memetik Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyatakan 24 pelarian mati dalam tahanan sejak 2015.

Mengenai bekas tahanan yang tidak dinamakan yang mendakwa menyaksikan pendatang Sri Lanka dipukul hingga mati oleh anggota keselamatan di sebuah pusat tahanan, Nur Jazlan menuntut bukti.

"Kalau ada tahanan dipukul hingga mati, sila minta akhbar itu keluarkan bukti.

"Terdapat dakwaan bahawa beberapa rakyat Kemboja terbunuh dalam tahanan pada tahun lepas di Pulau Pinang tetapi ini kemudiannya dinafikan oleh kedutaan Kemboja," katanya.

Beliau merujuk kepada portal berita Kemboja Ogos lalu yang melaporkan seorang pembantu rumah mendakwa telah menyaksikan penyeksaan tahanan oleh pegawai imigresen Malaysia, yang menyebabkan kematian dua warga Kemboja dan seorang wanita Vietnam.

Bagaimanapun, laporan berikutnya oleh Phnom Penh Post memetik Kementerian Luar Kemboja menafikan dakwaan pembantu rumah itu.

Sementara itu, mengenai dakwaan The Guardian bahawa pusat tahanan menghadapi kekurangan makanan dan air sehingga beberapa tahanan terpaksa minum air dari tandas, Nur Jazlan berkata perkara itu akan disiasat.

"Kami sedang menyiasat hal-hal seperti itu dan memperuntukkan dana bagi menyelesaikan isu itu. Tetapi dengan anggaran sebilangan besar pendatang asing tanpa izin dalam negara ia membataskan sumber-sumber kita," tambah beliau.

Mengenai penyebaran penyakit, timbalan menteri itu berkata mereka yang ditahan "kadang-kala mempunyai penyakit kronik dan mati di pusat tahanan selepas pulang dari hospital".

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS