'Malaysia tak tahan pelarian miliki kad UNHCR’
Pihak berkuasa Malaysia mempunyai perjanjian tidak rasmi dengan agensi pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu untuk tidak meletakkan pelarian yang memegang kad UNHCR di depoh tahanan imigresen negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendedahkan perkara itu ketika mempertikaikan laporan akhbar bahawa pelarian dan pencari suaka mati di depoh imigresen.
"Pegawai Penguatkuasa, iaitu polis dan jabatan imigresen secara tidak rasmi menghotmati permintaan UNHCR untuk tidak menangkap pemegang kad mereka dan meletakkan mereka di pusat-pusat tahanan.
“Jadi tidak mungkin ada pelarian yang diiktiraf oleh mereka berada di pusat-pusat tahanan kami.
"Hanya pendatang haram yang ditahan. Mereka yang mempunyai kad UNHCR dibenarkan bergerak bebas di negara ini,” kata Nur Jazlan.
Akhbar The Guardian hari ini memetik UNHCR sebagai berkata bahawa sekurang-kurangnya 24 pelarian dan pencari suaka meninggal dunia - kebanyakan disebabkan oleh penyakit - ketika ditahan oleh Jabatan Imigresen sejak 2015.
"Bagaimana UNHCR tahu bahawa mereka adalah pelarian? Kami tidak merekodkan sebarang ketibaan pelarian dengan bot sejak beberapa tahun lalu.
"Tetapi mereka telah mengeluarkan sejumlah besar kad UNHCR kepada mereka yang datang itu dan mendakwa mereka sebagai pelarian. Saya fikir mereka mengeluarkan kad kepada pendatang tanpa izin yang ditahan oleh pegawai imigresen dan bukannya pelarian.
"Saya mempertikaikan dakwaan mereka bahawa pelarian dizalimi di pusat tahanan. Kami juga sedang cuba mengesahkan anggaran bilangan pelarian yang memiliki kad yang dikeluarkan oleh UNHCR untuk mengesahkan status sebenar mereka," kata Nur Jazlan.
Beliau berkata bahawa terdapat keraguan tentang jumlah pemegang kad UNHCR, yang dikatakan berjumlah 160,000 orang.

