Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salleh: Peranan Bernama tangani berita palsu

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi berita berwibawa, boleh memainkan peranan penting sebagai sumber berita sahih dalam menangani fenomena 'berita palsu'.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata gejala itu perlu dibendung secara berkesan kerana sebelum sesuatu berita palsu disahkan tidak benar, biasanya 'nasi sudah menjadi bubur.'

"Seperti banyak negara, Malaysia juga berdepan dengan fenomena berita palsu yang mudah sekali dipercayai orang ramai," katanya dalam perutusan sempena sambutan Jubli Emas agensi berita itu pada 22 Mei ini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai yang menggunakan telefon pintar atau gajet seumpamanya untuk melayari portal Bernama bagi mengesahkan kesahihan sesuatu berita.

"Saya yakin Bernama mampu menanganinya dengan baik untuk menyahut cabaran ini dan terus relevan," kata Salleh.

Sempena menyambut ulang tahun ke-50, Salleh melahirkan hasrat untuk melihat Bernama mengorak langkah ke hadapan sejajar dengan perubahan drastik dalam landskap media masa kini, terutama dalam perkhidmatan berita dalam talian.

Menurutnya mutu dan kepelbagaian liputan berita agensi berita itu perlu dipertingkatkan mengikut cita rasa dan jangkaan pelanggan yang semakin selektif memandangkan pendekatan '"semuanya biasa-biasa sahaja" bukan satu jaminan untuk kemajuan akan datang Bernama untuk jangka panjang.

Salleh berkata antara pelbagai fungsi Bernama selaku agensi berita nasional yang ketara dan penting adalah peranan tradisionalnya sebagai 'jambatan berita' yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

"Peranan ini telah dimainkan oleh Bernama secara berkesan dengan memudahkan penyaluran berita dan maklumat serta gambar dan visual mengenai peristiwa dan perkembangan yang berlaku di dua bahagian tanah Malaysia yang dipisahkan oleh Laut China Selatan," kata Salleh.

Beliau berkata akhbar-akhbar dan platform media lain di Sabah dan Sarawak menjadikan agensi berita itu sebagai sumber penting untuk mendapat berita mengenai peristiwa dalam negara khususnya di Semenanjung atau berita nasional.

Selain itu, media di Semenanjung juga bergantung kepada Bernama untuk melaporkan peristiwa berita di kedua-dua wilayah itu, kata Salleh.

"Saya percaya peranan ini boleh diperluaskan ke peringkat global, khususnya menjambatani kerjasama ASEAN dari segi penyaluran berita dan maklumat di rantau ini," katanya.

Beliau turut mencadangkan Bernama untuk terus berusaha mempelbagaikan produk yang boleh menjana pendapatan tanpa melupakan tanggungjawab sebagai agensi berita yang mendukung aspirasi bangsa dan negara, sempena ulang tahun ke-50 penubuhannya. -Bernama

Lihat Komen
ADS