Seorang pekerja kolam udang dan ikan maut selepas terkena renjatan elektrik di kawasan kolam itu di Parit Sungai Melan, di Kuala Kurau, dekat Parit Buntar semalam.

Mangsa Mohamad Hafis Ismail, 28, dari Parit Mat Ali, dikatakan terjatuh dan tersembam di atas wayar elektrik pada pukul 12 tengah hari dan disahkan meninggal dunia ketika dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Kurau.

Menurut rakan sekerja mangsa, Liang Kok Chin, 22, mangsa sedang melakukan kerja di kolam terbabit dengan dua rakannya dan dikatakan tergelincir sebelum tersembam di atas wayar elektrik yang ada di situ.

"Sewaktu melihat dia terjatuh dan tidak sedarkan diri, saya dan beberapa rakan lain cuba menyelamatkannya namun terkejut apabila mendapati masih terdapat aliran elektrik pada badannya dan kami turut terkena renjatan itu.

"Saya kemudian mengarahkan rakan menutup suis utama dan membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Kuala Kurau untuk mendapatkan rawatan dan sebaik tiba di klinik itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas di sana," katanya ketika ditemui semalam.

Liang berkata mangsa baharu bekerja tidak sampai dua bulan di situ dan merupakan seorang pekerja yang rajin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat .

Bapa mangsa, Ismail Basri, 70, ketika ditemui pemberita berkata anak keempat daripada enam beradik itu menunjukkan sikap berbeza sehari sebelum kejadian.

"Malam sebelum kejadian, arwah menunjukkan kelakuan begitu gembira dan sempat membuat satu jag minuman untuk dihidangkan kepada rakan-rakan sekampung," katanya.

Selain itu, tambah beliau, pagi semalam mangsa bangun awal dan pergi ke tempat kerjanya seawal jam 7.30 pagi berbanding hari biasa iaitu pukul 8.30 pagi.

Maut dihempap jengkaut

Sementara itu di ibunegara, seorang lelaki maut selepas jengkaut yang dipandunya terbalik dan menghempap dirinya di tapak pembinaan Jalan Kapas, Bukit Bandaraya petang semalam.

Pegawai Bomba Kanan Salmi Abdul Mukti berkata lelaki tempatan berusia 31 tahun itu telah dikeluarkan pasukan bomba dengan bantuan pekerja tapak pembinaan daripada jengkaut itu dalam masa 10 minit kira-kira 5 petang.

"Seramai lapan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai terbabit dalam kerja-kerja menyelamat itu selepas menerima panggilan kecemasan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Salmi berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota perubatan dan mayatnya ditempatkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

- Bernama