Sumber: Trump minta Comey hentikan siasatan Flynn-Russia
GLOBAL l Presiden Amerika Donald Trump meminta pengarah FBI James Comey supaya menghentikan siasatan agensi itu tentang hubungan antara bekas penasihat keselamatan Rumah Putih, Michael Flynn dengan Russia, demikian menurut sumber yang melihat memo yang ditulis oleh Comey itu.
Perkembangan terbaru itu timbul selepas Trump memepecat Comey dan kemudiannya membincangkan maklumat keselamatan negara yang sensitif mengenai Kumpulan Negara Islam dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov.
Memo Comey, pertama kali dilaporkan oleh New York Times, telah mencetuskan persoalan sama ada Trump cuba mengganggu satu siasatan persekutuan.
Rumah Putih pantas menafikan laporan itu, dengan berkata dalam satu kenyataan ia "bukanlah gambaran sebenar atau perbualan yang tepat antara presiden dan Mr Comey."
Comey menulis memo selepas dia bertemu Trump di Oval Office, sehari selepas presiden itu memecat Flynn pada 14 Februari ini kerana mengelirukan Naib Presiden Mike Pence mengenai tahap perbualannya tahun lepas dengan Duta Rusia, Sergei Kislyak.
"Saya berharap anda boleh melupakan ini," Trump memberitahu Comey, demikian menurut satu sumber yang biasa dengan kandungan memo tersebut.
New York Times berkata semasa pertemuan di Oval Office, Trump mengecam siri kebocoran dalam kerajaan kepada media berita dan berkata pengarah FBI harus mempertimbangkan untuk mendakwa pemberita kerana menyiarkan maklumat sulit.
"Memo itu menjadi bukti kuat tentang halangan terhadap keadilan dan pasti ada merit untuk mengadakan siasatan segera oleh pendakwa khas bebas," kata Senator Democratic Richard Blumenthal.
Penggubal undang-undang Republikan dan Demokratik berkata mereka mahu melihat memo tersebut.
Wakil Republikan, Jason Chaffetz, pengerusi jawatankuasa selia Kongres, berkata jawatankuasa itu akan mendapatkan memo Comey, jika ia wujud, dan beliau mahu melihatnya secepat mungkin.
Dalam surat kepada pemangku Pengarah FBI, Andrew McCabe, Chaffetz menetapkan tarikh akhir 24 Mei untuk FBI menyediakan "semua memorandum, nota, ringkasan, dan rakaman yang merujuk atau berkaitan dengan apa-apa komunikasi antara Comey dan presiden."
Speaker Paul Rayan dari Republikan menyokong Chaffetz.
"Kita perlu mempunyai semua fakta, dan adalah wajar bagi Jawatankuasa Selia Kongres untuk meminta melihat memo ini," kata jurucakap Ryan, Ashlee Strpng. [Baca berita penuh]
- Reuters

