Kesihatan Hadi bertambah baik
Kesihatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, semalam dilaporkan semakin bertambah baik.
Setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan, berkata, pemimpin berusia 69 tahun itu, nampak ceria dan sudah mula menjamah makanan lembut.
“Alhamdulilah kesihatan Tuan Guru (Abdul Hadi) semakln bertambah baik setelah berlaku 24 jam pertama tempoh kritikal selepas pembedahan dijalankan.
“Antara perkara pertama yang disebut oleh Tuan Guru kepada saya malam tadi setelah mula bersuara ialah supaya menyampaikan salam kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau.
“Pagi tadi, Tuan Guru juga nampak keceriaannya dan sudah boleh menjamah makanan lembut,” katanya.
Abdul Hadi semalam menjalani pembedahan mengganti injap jantung selama tiga jam di IJN kerana mempunyai "tanda-tanda injap jantung yang bocor" hingga menjejaskan aktiviti harian beliau.
Ahmad Samsuri berkata sebagaimana yang disebutkan dalam kenyataan media IJN semalam, lawatan pada peringkat ini hanyalah terhad untuk keluarga terdekat sahaja sehingga dimaklumkan.
“Pihak keluarga dan kepimpinan PAS juga mengajak ahli dan penyokong di berbagai peringkat untuk terus berdoa ke hadrat Allah SWT agar proses pemulihan kesihatan Tuan Guru berjalan lancar dan terbaik,” katanya.

