Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam kalangan penjawat awam di negeri ini adalah mereka yang tidak merokok.
Katanya mana-mana penjawat awam di negeri ini yang didapati melanggar peraturan larangan merokok di premis kerajaan perlu dikenakan hukuman iaitu dipotong markah untuk melayakkan mereka dipertimbangkan dalam APC.
"Tindakan ini perlu kerana jika tidak, mereka tidak peduli dengan larangan tersebut.
"Seperti yang kita sedia maklum bahawa premis kerajaan adalah tempat larangan merokok dan larangan ini telah diwartakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Anugerah Medan Selera peringkat Negeri Sembilan anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Zainudin Mohd Ali.
Mohamad berkata, larangan merokok di premis kerajaan ini merangkumi keseluruhan kawasan bangunan itu, termasuk kawasan tangga dan laluan pejalan kaki di premis kerajaan, seperti Wisma Negeri di Seremban.
Selain itu, beliau berkata, syarat lain yang boleh dikenakan untuk melayakkan penjawat awam dipertimbangkan dalam APC ialah mesti melepasi ujian Indeks Jisim Badan (BMI).
"Syarat ini kita kenakan kerana kita hendak pastikan mereka yang mendapat APC ini adalah cemerlang dan boleh dijadikan contoh kepada rakan mereka.
"Itu pandangan saya dan saya tidak mahu meletakkan peraturan yang boleh dilihat sebagai tidak adil atau menindas mana-mana pihak. Hasrat kita ialah menginginkan anggota penjawat awam dan rakyat keseluruhannya di negeri ini sihat," katanya.
Beliau berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan untuk dipertimbangkan.
- Bernama
