Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah lancar sistem Permata Q
Diterbitkan:  May 18, 2017 3:23 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melancarkan Sistem Jaminan Kualiti Permata Negara (Permata Q) bertujuan bagi menilai keberkesanan kurikulum Permata Negara yang dilaksanakan taman asuhan kanak-kanak (taska) kelolaan agensi kerajaan dan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Rosmah yang juga penaung Program Permata berkata sistem itu diperkenalkan bagi memastikan pelaksanaannya adalah selaras dengan konsep, falsafah dan kriteria yang ditetapkan oleh Permata.

"Sistem penilaian ini merupakan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri yang mengarahkan supaya pelaksanaan kurikulum Permata Negara dapat ditanda aras dengan amalan terbaik antarabangsa," katanya ketika berucap di Hari Kecemerlangan Pendidik Permata Negara 2017 di Putrajaya.

Jelasnya sistem Permata Q mempunyai enam komponen standard kualiti bagi memastikan ia adalah suatu penilaian yang komprehensif dan lengkap merangkumi aspek pengurusan, pembelajaran, pentaksiran, asuhan bayi, keselamatan dan sumber manusia.

"Sistem Permata Q juga bertujuan untuk membantu pihak taska membuat penanda aras bagi mengetahui kedudukan sebenar mereka dari aspek kualiti," katanya.

Rosmah berkata penilaian Permata Q dilaksanakan secara dua peringkat iaitu peringkat pertama, Penilaian Kendiri di mana taska yang lulus peringkat tersebut akan melalui peringkat kedua iaitu Penilaian Kualiti oleh panel penilai yang dilantik.

"Bagi memastikan pelaksanaannya dibuat dengan betul, sebuah Jawatankuasa Jaminan Kualiti Permata Negara telah ditubuhkan dengan dianggotai beberapa pihak berkepentingan termasuk Agensi Kelayakan Malaysia," katanya.

Beliau berkata projek perintis Sistem Permata Q, melibatkan lebih 700 buah taska daripada pelbagai agensi pelaksana, telah dilaksanakan pada tahun lepas dengan 22 buah taska diperakukan penganugerahan Sijili Perakuan Permata Q.

Katanya sejak program Taska Permata diperkenalkan pada 2007, ia kini telah berkembang kepada 688 buah di seluruh negara selain 4,733 buah taska swasta juga turut menggunakan kurikulum Permata di seluruh negara.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS