Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setelah dua tahun tinggal di kota metropolis Singapura, saya dapati bukanlah satu kebiasaan untuk dapat melihat wanita republik ini menyusukan bayi mereka di khalayak.

Keadaan ini mungkin boleh menjelaskan debat panas yang berlaku dalam media sosial Mac lepas selepas gambar wanita menyusukan bayinya secara terbuka di dalam tren MRT menjadi tular.

Meskipun sesetengah netizen mengecam wanita itu kerana menyusukan bayinya tanpa sebarang pelindung, yang lainnya memuji wanita itu kerana mengutamakan keperluan anaknya.

Menurut firma penyelidikan dalam talian YouGov, peratus orang awam yang menerima penyusuan bayi di khalayak ramai ini adalah tinggi.

YouGov membuat bancian membabitkan 9,242 orang di rantau Asia Pasifik (APAC) untuk mendapatkan respons mereka terhadap penyusuan bayi di khalayak ramai.

Daripada bancian 1,055 warga Singapura, 79 peratus berpendapat ibu yang menyusukan bayinya di khalayak ramai adalah sesuatu yang boleh diterima.

Daripada debat yang muncul di halaman Facebook 'Must See Singapura News' (MSSN) ekoran daripada insiden MRT, adalah jelas kebanyakan rakyat Singapura tidak menentang penyusuan bayi di khalayak ramai kerana ramai yang memuji wanita yang mengutamakan keperluan bayinya.

Dr Mythili Pandi, presiden Breastfeeding Mothers Support Group (BMSG) dilaporkan sebagai berkata apa yang dilakukan oleh ibu itu "menakjubkan".

"Anak dia lapar dan wanita itu menyusukan anaknya. Itu sahaja yang dia lakukan," katanya. "Saya memuji wanita itu kerana apa yang dia lakukan, tak perlu nak tutup, tapi kalau nak tutup pun boleh kalau nak buat begitu."

Menurut laman sesawang BMSG, wanita yang menyusukan anak di Singapura menurun sejak 1950an tetapi kembali meningkat secara perlahan-lahan pada tahun 1980an dan 1990an.

BMSG mula menggerakkan usaha untuk menggalakkan wanita menyusukan bayi mereka apabila kadar penyusuan bayi jatuh kepada paras rendah.

Sementara itu, YouGov juga mendapati kira-kira 65 peratus rakyat Singapura yang ditinjau pandangan mereka bersetuju hak untuk wanita menyusukan bayi mereka di khalayak ramai perlu dipertahankan.

Menurut YouGov, di kebanyakan tempat di Amerika dan Eropah, hak wanita untuk menyusu bayi mereka di khalayak ramai dilindungi undang-undang.

Malah syarikat boleh didenda jika menghalang bayi daripada disusukan oleh ibunya.

Data YouGov yang dikumpul dalam talian antara 26 Mac dan 4 April, 2017 membabitkan tinjauan ke atas lebih lima juta orang di seluruh dunia.

Selain Singapura, tinjauan juga dibuat di Asia Pasifik termasuk Australia (1,001 orang), Hong Kong (911), Indonesia (1,140), Malaysia (1,734), Filipina (1,185), Thailand (1,181) dan Vietnam (1,035).

Secara umumnya, penerimaan terhadap penyusuan bayi di khalayak ramai adalah tinggi di negara-negara APAC. Hasil tinjauan YouGob menunjukkan 77 peratus responden APAC berpendirian penyusuan bayi di khalayak ramai boleh diterima. Tiga daripada empat orang yang diwawancara di APAC menyatakan ibu boleh menyusukan bayinya di khalayak ramai.

Paras penerimaan adalah paling tinggi di Australia dan Hong Kong iaitu 87 peratus, diikuti Thailand (85 peratus).

- Bernama

Lihat Komen
ADS